Perak tingkat pemantauan harga barang ketika Ramadan

Abdul Yunus (tengah) meninjau pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang bermula 15 hingga 20 Mac ini di pasar raya besar Mydin Meru Raya.
Abdul Yunus (tengah) meninjau pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang bermula 15 hingga 20 Mac ini di pasar raya besar Mydin Meru Raya.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan harga barang sepanjang Ramadan.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pemantauan menyeluruh akan dilakukan di lokasi-lokasi tumpuan ramai terutamanya bazar Ramadan yang dibenarkan beroperasi tahun ini.

Menurutnya, harga barang dan makanan perlu dikawal sebaiknya kerana dibimbangi akan memberi lebih tekanan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Lebih 200 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga akan digerakkan di seluruh negeri bagi tujuan pemantauan ini.

"Kita harap kenaikan itu tidak berlaku dan dalam hal ini semua pihak perlulah memainkan peranan sebaiknya.

"Dari aspek peniaga, kita nasihatkan agar mereka tidak mengambil kesempatan dalam suasana sekarang dengan menaikkan harga dan di pihak pengguna pula, kita minta mereka sentiasa berwaspada dengan memastikan barang-barang dijual pada harga berpatutan," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Abdul Yunus (kiri) bersama Saifullizan (dua dari kiri) menyantuni peserta yang menyertai pertandingan memasak sempena Karnival Hari Pengguna Kebangsaan Negeri Perak di Mydin Meru Raya pada Selasa.
Abdul Yunus (kiri) bersama Saifullizan (dua dari kiri) menyantuni peserta yang menyertai pertandingan memasak sempena Karnival Hari Pengguna Kebangsaan Negeri Perak di Mydin Meru Raya pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Karnival Hari Pengguna Kebangsaan Negeri Perak di pasar raya besar Mydin Meru Raya yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman.

Artikel Berkaitan:

Abdul Yunus berkata, setakat ini tiada aduan rasmi dilaporkan kepada KPDNHEP negeri berkaitan kenaikan harga barang dan makanan.

Katanya, kebanyakan aduan terutama berkaitan harga barang dibuat pengguna melalui saluran dan platform media sosial.

"Jika tiada aduan rasmi, agak sukar tindakan dan penguatkuasaan diambil, jadi kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kenaikan harga barang ini untuk segera melaporkan kepada KPDNHEP," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 226 aduan diterima KPDNHEP Perak bermula 1 Januari hingga 13 Mac lepas.

Katanya, aduan tertinggi direkodkan adalah berkaitan transaksi dalam talian iaitu sebanyak 82 kes diikuti 58 aduan berkaitan harga, perkhidmatan mengelirukan (33), barang kawalan (16) dan perkhidmatan bengkel kenderaan bermotor (11).

"Dalam tempoh sama, sebanyak 310 kes telah diambil tindakan mengikut akta-akta yang diperuntukkan di bawah KPDNHEP," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan sepanjang karnival yang bermula pada Selasa antaranya persembahan zumba, pertandingan consumer exlporace, pertandingan cabaran trolly, pertandingan memasak dan mewarna.

Selain itu, KPDNHEP Perak juga bekerjasama dengan Mydin Meru Raya melakukan Program Jualan Keluarga Malaysia yang bermula 15 hingga 20 Mac ini.