Najib mohon kes SRC dibicara semula

Najib
Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memohon Mahkamah Persekutuan supaya kes seleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), dibicarakan semula.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah bahawa, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Katanya, Hakim Mohd Nazlan terlibat dalam permohonan pinjaman syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Syarikat Maybank dan penasihat undang-undang kumpulan.

“Lebih RM4 bilion pinjaman daripada bank itu kepada 1MDB bagi pengambilalihan syarikat Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd.

“Ia pastinya melalui pelbagai proses, jawatankuasa risiko dan keseluruhan lembaga (Lembaga Pengarah Maybank).

“Salah seorang ahli jawatankuasa yang mendapatkan arahan ialah Hakim Mohd Nazlan iaitu ketua undang-undang, penasihat undang-undang kumpulan dan ketua bahagian korporat serta undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding pendengaran permohonan untuk memasukkan bukti baharu di hadapan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada Selasa.

Tengku Maimun mengetuai lima panel hakim bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika prosiding, Muhammad Shafee mencadangkan tiga pilihan kepada mahkamah untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu itu.

Pilihan pertama katanya, permohonan itu didengar oleh panel mahkamah rayuan baharu iaitu panel terbabit akan turut memutuskan rayuan utama.

“Kedua, kami failkan permohonan baharu di mahkamah rayuan dan didengar oleh panel lain.

“Ia tidak boleh didengar panel mahkamah rayuan sama kerana Najib dinafikan haknya untuk didengar ketika di peringkat mahkamah rayuan,” katanya.

Beliau berkata, pilihan terakhir ialah Mahkamah Persekutuan boleh mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan itu secara langsung.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas mendapati Najib gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.