Tiga diberkas, bekal maklumat individu untuk ditipu

Antara suspek yang diberkas dipercayai terlibat kegiatan penipuan dalam talian di sebuah unit kondominium di Jalan Yap Kwan Seng pada Selasa.
Antara suspek yang diberkas dipercayai terlibat kegiatan penipuan dalam talian di sebuah unit kondominium di Jalan Yap Kwan Seng pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki diberkas dipercayai terlibat kegiatan penipuan dalam talian dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Tiga suspek diberkas berumur antara 19 hingga 33 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dan barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan penipuan tersebut.

"Rampasan melibatkan empat unit CPU, empat unit monitor, seunit komputer riba dan 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama.

"Turut dirampas lima unit modem dan empat unit papan kekunci," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati kegiatan itu telah beroperasi selama sebulan.

"Kegiatan penipuan ini didapati menyasarkan mangsa dari luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan berperanan mencari maklumat mangsa melalui akaun Facebook dan kemudiannya menyerahkan maklumat mangsa kepada satu sindiket lain bagi tujuan penipuan dalam talian," katanya.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kesemua suspek yang diberkas direman empat hari untuk siasatan lanjut," katanya.