Kes denggi meningkat, kerajaan negeri ambil langkah kawalan

Siti Mariah
A
A

SHAH ALAM - Situasi denggi di Selangor secara kumulatif sehingga 9 Mac lalu merekodkan peningkatan kepada 17,004 kes berbanding 6,138 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha mengawal kes demam denggi daripada menjadi penyakit epidemik di mana penularan wabak bagi penyakit itu meningkat melebihi daripada jumlah dijangka.

Beliau berkata, bagi merealisasi matlamat itu, Kerajaan Selangor pada tahun ini memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi menampung perbelanjaan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi di negeri ini.

"Selangor satu-satunya negeri yang memperuntukkan sejumlah wang begitu besar bagi menangani isu denggi berbanding negeri-negeri lain.

"Sebahagian besar peruntukan tersebut adalah bagi membudayakan masyarakat dalam mencegah isu denggi ini," katanya.

Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab soalan Ronnie Liu Tan Khiew (DAP-Sungai Pelek) yang bertanyakan mengenai tindakan terbaru kerajaan negeri dalam menangani kes denggi di Selangor.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata pada tahun ini, kerajaan negeri menggunakan inisiatif baharu bagi mengawal kes denggi antaranya dengan melaksanakan kawalan biologi menggunakan nyamuk aedes dengan Wolbachia yang merupakan sejenis miko organisma semula jadi dalam organ pembiakan serangga.

"Selain itu Program Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters akan dilaksanakan bermula tahun ini melibatkan semua agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan anak syarikat kerajaan negeri.

"Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor juga melancarkan beberapa kempen dengan penumpuan bagi memperkukuh aktiviti pemusnahan tempat pembiakan denggi secara berfokus di lokaliti sporadik (terpencil) terpilih," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga fokus untuk meneruskan aktiviti penguatkuasaan di lokasi tumpuan awam yang berisiko menjadi punca pembiakan nyamuk aedes.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia