COSH 2022 angkat tema Berdaya Tahan Menghadapi Cabaran Baharu

Wilson (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian COSH 2022 di KLCC pada Selasa.
Wilson (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian COSH 2022 di KLCC pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR- ‘Berdaya Tahan Menghadapi Cabaran Baharu’ diangkat sebagai tema Persidangan dan Pameran di dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-23 (COSH 2022) yang dijadual berlangsung 29 dan 30 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pameran dua hari itu dijangka dihadiri 500 pengunjung dengan disertai 80 pempamer yang terdiri daripada pelbagai industri.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, COSH merupakan aktiviti tahunan bertujuan memperkenal dan membincangkan trend dalam bidang keselamatan dan kesihatan yang boleh memanfaatkan industri di Malaysia.

Namun katanya, aktiviti tahunan itu terpaksa dihentikan sejak dua tahun lalu susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak awal tahun 2020 lalu.

“Cabaran yang dilalui sepanjang pandemik Covid-19 adalah suatu bentuk dugaan baharu yang belum pernah dihadapi di Malaysia.

"Majikan, pekerja, kerajaan dan pihak berkepentingan menghadapi pelbagai kesukaran dalam meneruskan kelangsungan aktiviti ekonomi dan pada masa yang sama berusaha untuk mengekalkan tahap optimum dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

"Ia adalah satu peluang untuk pakar dalam bidang keselamatan dan kesihatan KKP untuk mengetengahkan perkembangan baharu yang perlu diketahui hasil perubahan teknologi dan ekosistem yang membawa kesan positif dalam kalangan industri," katanya ketika berucap merasmikan COSH 2022 di KLCC di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Wilson (tengah) ketika bercakap pada sidang media.
Wilson (tengah) ketika bercakap pada sidang media.

Ujarnya, pemilihan tema itu adalah tepat pada masanya memandangkan negara baru muncul semula ke landasan pemulihan ekonomi.

Tambahnya, di sebalik kesukaran akibat pandemik itu, secara tidak langsung ia berupaya mewujudkan budaya KKP dalam membendung penularan wabak yang boleh membawa maut itu.

"Pada masa sama, ia membuka peluang kepada satu langkah kawalan baharu yang dibangunkan secara kolektif dan dilaksanakan secara berterusan untuk jangka masa lebih panjang.

"Mengorak langkah ke depan adalah diharapkan supaya kita semua dapat berdaya tahan dalam menghadapi segala cabaran baharu," katanya.

Sementara itu ditanya antara fokus yang akan diberi keutamaan dalam persidangan itu, Wilson berkata, isu KKP menjadi fokus utama selain memberi lebih pendedahan kepada majikan.

“Kita sedia maklum krisis Covid-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada semua pihak khususnya pemain industri tetapi dalam usaha untuk pihak industri untuk meningkatkan hasil mereka, aspek KKP tetap perlu diutamakan.

“Justeru, COSH 2022 ini menjadi medan terbaik buat semua pihak untuk mendapatkan penjelasan susulan banyak perubahan yang telah berlaku sepanjang tempoh dua tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru pihak industri tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam persidangan yang penuh bermakna itu bagi menambah pengetahuan dan ilmu mengenai KKP bagi memastikan kesejahteraan pekerja mereka terus dipelihara.