Sila log masuk terlebih dahulu.

Arah PBT periksa kawasan cerun berisiko tinggi

Kejadian terbaharu menunjukkan kawasan yang tiada dalam senarai berisiko tinggi turut boleh mengalami tanah runtuh dan telah terbukti telah meragut nyawa.

Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor diminta mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemeriksaan terperinci terhadap kawasan cerun yang berisiko tinggi bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak kembali berulang.

Ketua Penyelaras Pusat Khidmat untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pemeriksaan itu penting bagi memastikan kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan pada 25 Januari lalu dan tanah runtuh mengorbankan nyawa di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac tidak terus berlaku pada masa depan.

"Kami juga menggesa kerajaan negeri menambah kawasan berisiko tinggi di dalam senarai mereka kerana kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 tiada dalam senarai lebih 150 cerun berisiko tinggi runtuh di Selangor terutamanya Ampang, Gombak dan Hulu Langat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, kejadian terbaharu itu menunjukkan kawasan yang tiada dalam senarai berisiko tinggi turut boleh mengalami tanah runtuh dan telah terbukti telah meragut nyawa.

"Kerajaan Selangor perlu melakukan kajian ke atas semua cerun-cerun bagi mengklasifikasikannya semula.

"Semua cerun berisiko tinggi perlu dipantau dari masa ke masa untuk memastikan tidak berlaku sebarang pergerakan tanah yang boleh mengakibatkan tanah runtuh," ujarnya.

Justeru katanya, kerja-kerja penyelenggaraan juga perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang bencana daripada berlaku.

"Memandangkan pengalaman dengan kes-kes tanah runtuh yang meragut nyawa, pihak berkuasa negeri dan PBT perlu lebih berhati-hati di dalam meluluskan pembangunan yang melibatkan cerun.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang syarat-syarat bagi pembangunan yang diluluskan perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan tanpa pilih kasih," katanya.