Pesara tentera didakwa buat tuntutan palsu RM19,000

Mahadzir didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu.
Mahadzir didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang Leftenan Kolenal bersara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,000 lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mahadzir Jaafar, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Mahadzir yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Staf 1 Sejarah di Muzium Tentera Darat, Port Dickson, didakwa memperdaya prinsipal Markas Latihan Tentera Darat menerusi satu dokumen pesanan kerajaan bernilai RM19,000.

Tertuduh didakwa memberi butiran palsu dengan membuat pengesahan penerimaan bekalan perkhidmatan berhubung pembelian terus bagi membekal bahan mentah dan alat bantu diri walhal pembekalan itu tidak dibuat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 4 Ogos 2014 dan 2 September 2014 di Muzium Tentera Darat, Port Dickson.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) 2009(Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2 )akta yang sama, jika sabit kesalahan.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM20,000.

Artikel Berkaitan:

Peguam Leftenan Kolonel Hanif Zakaria dan Azman Zakaria memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana anak guamnya sudah bersara dan menanggung isteri dan enam anak termasuk ibu bapa.

Mahkamah yang membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Seremban pada minggu pertama setiap bulan turut menetapkan kes disebut semula pada 10 Mei ini untuk serahan dokumen.