Nelayan derita muara sungai cetek

Beting pasir yang menjadi penyebab kesukaran keluar dan masuk bot nelayan di sepanjang muara sungai di DUN Beserah. Raja Haris Raja Salim (gambar kecil)
Beting pasir yang menjadi penyebab kesukaran keluar dan masuk bot nelayan di sepanjang muara sungai di DUN Beserah. Raja Haris Raja Salim (gambar kecil)
A
A
A

KUANTAN - Masalah muara sungai yang semakin cetek di sekitar Kampung Balok hingga ke Cherating akibat dipenuhi lumpur tebal dan beting pasir menjejaskan kehidupan nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah.

Nelayan pantai di sekitar kawasan itu mendakwa sudah letih berperang dengan lumpur yang menjadi punca muara sungai cetek setiap kali ingin ke laut atau kembali ke jeti.

Ketua Nelayan Balok, Raja Haris Raja Salim, 68, berkata, masalah itu sudah berlarutan lebih sedekad lalu dan sehingga kini tiada jalan penyelesaian diambil oleh mana-mana pihak walaupun aduan telah dibuat.

Menurutnya, sebagai jalan terakhir, nelayan terpaksa menunggu sehingga air pasang tinggi bagi mengelakkan bot tersadai di lumpur atau terlanggar beting pasir.

"Kita tiada pilihan lain selain menunggu. Kalau waktu air pasang tak ada masalah, bot yang bersaiz besar pun boleh lalu, tetapi apabila air sungai surut ia memang menimbulkan masalah kepada nelayan.

"Sekarang ini keadaan muara cetek semakin ketara, kalau kita lihat sudah terbentuk beting pasir, sekali gus mendatangkan bahaya kepada bot nelayan," katanya ketika temui di muara Sungai Beserah di sini pada Selasa.

Raja Haris meminta tindakan lebih konkrit oleh kerajaan Pahang untuk menyelesaikan masalah dihadapi nelayan di kawasan itu.

Jelasnya, penyelesaian segera terhadap permasalahan yang dihadapi membolehkan mereka dapat bebas keluar masuk ke jeti sepanjang hari tanpa perlu risau dengan jadual pasang surut air.

Artikel Berkaitan:

Nelayan, Dzuaini Mohamad, 66, mencadangkan kerajaan menjalankan kerja-kerja mendalamkan muara sungai bagi kemudahan bot nelayan keluar dan masuk.

Katanya, keadaan muara yang cetek bukan sahaja menyukarkan tetapi mendatangkan bahaya kepada bot nelayan.

"Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera memandangkan kebanyakan nelayan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hidup mereka ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," ujarnya.

Bagi nelayan pantai, Mohamad Azlan, 38, berkata, mereka sentiasa bergadai nyawa setiap kali melalui muara sungai berkenaan.

Katanya, ini kerana bot berisiko bocor sekiranya enjin terkena beting pasir di samping berlaku kejadian bot terbalik.

"Saya mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit selepas bilah kipas enjin bot rosak akibat terlanggar benteng berlumpur," katanya.

Justeru, dia mahu kerajaan mempertimbangkan pembinaan benteng penahan ombak di kawasan laut terbuka untuk menyelesaikan masalah itu.

“Kalau boleh, buat (benteng) bentuk C yang tertutup dari ombak, dengan pelantar disediakan untuk tambat bot. Memang kos tinggi sikit, tetapi berbaloi dan selamat untuk bot nelayan.

“Kalau nak korek (mendalamkan sungai) itu boleh tapi saya rasa masalah ini bukan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff mengesahkan sudah menerima aduan dari nelayan berhubung permasalahan itu.

Katanya, lawatan dan tinjauan ke muara Sungai Beserah telah dilakukan beberapa hari lalu.

"Kita dapat lihat kesukaran pergerakan keluar masuk bot nelayan tradisional untuk menangkap ikan dan pulang ke pangkalan pada setiap hari.

"Hasil tinjauan ini telah diadukan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan kerajaan Pahang akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah muara sungai sekitar Kampung Balok hingga ke Cherating," katanya.

Beliau menjelaskan, segala tindakan dan langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan akan diumumkan selepas ia diputuskan.