Sembilan penjawat awam, nelayan edar dadah diberkas

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai sembilan penjawat awam dan seorang nelayan disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah diberkas di Putrajaya dan Johor Bahru pada 6 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 5.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM193,590.

"Kesemua yang ditahan berusia 33 hingga 49 tahun. Kesemua penjawat awam itu bertugas di sebuah agensi penguat kuasa di Putrajaya," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Selasa.

Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjual semula 50 kilogram dadah syabu yang dirampas dalam operasi di perairan Selat Melaka kepada pengedar dadah di Utara Semenanjung.

"Dadah yang dirampas itu cuba diseludup sindiket lain yang bergerak aktif di Banting untuk pasaran di Dumai, Indonesia," katanya.

Ayob Khan berkata, anggaran harga pasaran tempatan untuk dadah syabu seberat satu kilogram adalah RM36,000.

"Jika sindiket itu jual dadah syabu satu kilogram untuk pasaran Indonesia harganya mencecah RM100,000 atau Australia sebanyak RM300,000," katanya.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan itu dipercayai aktif sejak Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saringan awal mendapati empat suspek penjawat awam ditangkap itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau," katanya.

Ayob Khan berkata, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dimana pelbagai aset bernilai RM195,235.78 disita.

"Polis turut menyita kenderaan jenis Honda CR-V, HRV, Toyota Vios dan Perodua Aruz," katanya.

Beliau berkata, kesemua individu itu ditahan reman bermula 7 Mac hingga 20 Mac bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ayob Khan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Polis berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya.