Presiden Peka tidak mengaku salah duduki tanah kerajaan

Shariffa Sabrina (dua dari kanan) tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Raub pagi Selasa.Beliau berdepan tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.
Shariffa Sabrina (dua dari kanan) tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Raub pagi Selasa.Beliau berdepan tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.
A
A
A

RAUB - Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran sah, Jun tahun lalu.

Dua pertuduhan itu masing-masing didakwa dilakukan di daerah ini iaitu di kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong dan di kawasan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort di Lot 10061, GM1572 Mukim Tras pada jam 2 petang, 10 Jun 2021.

Perbuatan itu turut didakwa dilakukan di Lot 26148, GM4135 Mukim Bentong iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe dan Restaurant pada jam 2 petang, 11 Jun tahun sama.

Aktivis alam sekitar itu didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Jika sabit kesalahan, Shariffa Sabrina selaku orang kena saman (OKS) boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun bagi setiap kesalahan.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membenarkan Shariffa Sabrina diikat jamin RM9,000 untuk ketiga-tiga kesalahan dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Izzat Ikhwan Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Shariffa Sabrina dengan diiringi anggota polis keluar dari kamar mahkamah sebelum dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM9,000.
Shariffa Sabrina dengan diiringi anggota polis keluar dari kamar mahkamah sebelum dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM9,000.

Shariffa Sabrina pula diwakili lima peguam diketuai Mohd Harris Mohan dan dibantu Syahira Alia Sa'adon, Rajesh Nagarajan, Sach Preetraj Singh, RG Venothani dan Rozatirah Rosmi.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah sementara kepada OKS untuk tidak mengeluarkan kenyataan berkenaan kes itu di media terutama media sosial sehingga satu permohonan rasmi berhubung perkara itu dibuat pihak pendakwaan susulan permohonan Izzat Ikhwan.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 April depan sebagai tarikh pengurusan kes termasuk untuk serahan dokumen.

Sebelum itu, Shariffa Sabrina yang tiba di mahkamah kira-kira jam 8 pagi dengan memakai baju kurung berwarna merah turut diiringi lebih 30 aktivis alam sekitar yang lain sebagai sokongan kepada beliau.

Turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui.