Wisma Putra sahkan Muhammad Haziq meninggal dunia

A
A

1.Wisma Putra sahkan Muhammad Haziq meninggal dunia

Kementerian Luar mengesahkan remaja Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, adalah antara 50 yang maut dalam kejadian tembakan di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Mohd Haziq sebelum ini dilaporkan hilang semasa insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch.

Mohd Haziq merupakan anak kepada Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, selepas cedera ditembak dalam kejadian di Masjid Al Noor.

Seorang lagi anak Mohd Tarmizi, Mohd Haris, 12, masih menerima rawatan di hospital kanak-kanak di Christchurch akibat trauma susulan insiden tersebut.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof akan ke Christchurch hari ini, untuk mewakili kerajaan dalam memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian tragis ini,” katanya.

2. Tragedi Christchurch: Dua lagi jenazah selamat dikebumikan

Dua lagi mangsa serangan pengganas di masjid Christchurch, New Zealand selamat dikebumikan pada Khamis.

Ratusan ahli komuniti Islam serta ahli keluarga mangsa berkumpul di Memorial Park Cemetery di Linwood bagi mengiringi perjalanan terakhir jenazah Sayyad Milne, 14 tahun dan Tariq Rashid Omar, 24.

Sayyad adalah seorang pelajar di Cashmere High School di Christchurch, sementara Tariq merupakan seorang bekas pelajar sekolah sama.

Ketika serangan berlaku Jumaat lalu, ibu Sayyad, Noraini, juga berada di masjid tersebut tetapi sempat melarikan diri.

Semalam, dua jenazah pertama dikebumikan di tanah perkuburan sama.

Mereka ialah Khalid Mustafa, 44 tahun, dan anaknya, Hamza Mustafa, 15 tahun yang juga seorang pelajar Cashmere High School.

3. Trump, Ratu Elizabeth selar serangan masjid Christchurch

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengutuk serangan dan pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di New Zealand, ketika solat Jumaat hari ini, sehingga mengorbankan 49 jemaah.

“Beliau amat bersimpati kepada rakyat New Zealand, susulan penyembelihan kejam di dua masjid ini. 49 orang meninggal dunia dalam keadaan yang langsung tidak boleh diterima dengan ramai mangsa lain cedera.

“AS bersama New Zealand dalam apa bentuk sokongan yang mereka mahu. Semoga Tuhan merahmati semua!” kata Trump di Twitter.

Dalam pada itu di London, Ratu Elizabeth II berkata, beliau amat sedih dengan serangan itu.

“Saya dan Putera Philip mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa yang meninggal dunia,” katanya.

Ratu Elizabeth, 92, adalah pemerintah diraja tertua dan paling lama berkhidmat di dunia, beliau adalah ratu kepada 15 negara selain Britain termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.

4. Gambar tular PM kemalangan disahkan palsu

Sekeping gambar yang memaparkan kejadian kemalangan dan didakwa melibatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, disahkan palsu.

Gambar yang tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp pada Rabu itu menunjukkan sebuah kereta yang remuk akibat merempuh pintu pagar.

Menerusi akaun Facebook, Pegawai Media Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin mengesahkan bahawa berita itu tidak benar.

"Tun M berada di pejabat selepas pulang dari Parlimen dan menerima delegasi dari Sepanyol dan berada di pejabat ketika post ini ditulis," kata Adam dalam postingnya pada 2.01 petang Rabu.

5. Green tekad pamer aksi terbaik di laman sendiri

Pemain golf terkemuka Malaysia, Gavin Kyle Green percaya beliau mempu menampilkan aksi cemerlang di laman sendiri pada Kejohanan Golf Maybank 2019 bermula esok.

Green berkata, beraksi di tempat sendiri pada kejohanan edisi keempat itu memberi peluang kepada beliau mempamerkan kemampuan sebenar sesuai dengan statusnya selaku pemain golf nombor satu Negara.

Green yang sering beraksi di kejohanan luar terutama di Eropah sejak meraih gelaran Order of Merit Jelajah Asia 2017, akan bersaing buat pertama kali di laman sendiri sejak hamper setahun lepas.

Penampilan terakhir beliau di laman sendiri adalah pada kejohanan Maybank tahun lepas apabila beliau menamatkan saingan dengan berkongsi di tempat ke-39, dan beliau berazam dapat memperbaiki kedudukanya di hadapan penonton tempatan minggu ini.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia