Dividen KWSP 6.7 peratus jika tiada pengeluaran khas

Tengku Zafrul ketika sesi menjawab perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
Tengku Zafrul ketika sesi menjawab perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan pada kadar 6.1 peratus baru-baru ini sepatutnya 6.7 peratus, jika tiada pengeluaran simpanan oleh pencarum.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dividen tambahan berjumlah RM5.4 bilion itu sebaliknya boleh diagihkan kepada pencarum KWSP sekiranya tiada pengeluaran dibuat menerusi mana-mana skim pengeluaran.

"Kehilangan RM5.4 bilion itu mengakibatkan kira-kira 5.3 juta ahli yang tidak pernah keluarkan simpanan, menerima pulangan simpanan lebih rendah.

"Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat sekalian yang juga mewakili pencarum yang tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka, adakah ini adil?” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Menurut Tengku Zafrul, beberapa inisiatif pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra terbukti mampu meringankan beban ahli yang memerlukan, namun dalam masa sama mengakibatkan kekurangan simpanan persaraan yang ketara.

”Susulan pengeluaran sebanyak RM101 bilion tersebut, seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

"Sekiranya dibenarkan pengeluaran RM10,000 secara ‘one-off,’ bilangan ahli layak membuat pengeluaran dijangka seramai 6.3 juta dengan jumlah pengeluaran tambahan lebih RM63 bilion.

"Jika pengeluaran tambahan ini dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan imbangan portfolio dan impaknya mungkin lebih daripada nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan, KWSP perlu mengambil tindakan antaranya menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran tidak menentu bagi menampung nilai pengeluaran RM63 bilion tersebut.

Kata beliau, langkah itu akan memberi impak negatif terhadap pasaran saham dan bon tempatan termasuk kadar faedah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang meningkat dalam kadar purata 100 mata asas berbanding suku ketiga 2020 selain menyebabkan kos pinjaman kerajaan turut meningkat pada masa akan datang.