Tubuh COI siasat tragedi tanah runtuh

Meenakshi
Meenakshi
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Selangor perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan (COI) untuk menyiasat tragedi tanah runtuh Taman Bukit Permai, Ampang yang mengorbankan empat nyawa manakala penduduk lain terpaksa dipindahkan

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, siasatan perlu bagi mengelakkan tragedi berulang dan mengenal pasti punca tanah runtuh.

Beliau berkata, langkah-langkah pemulihan dan pencegahan perlu bagi perlindungan tanah dan cerun selain penguatkuasaan undang-undang jika berlaku kecuaian.

"COI amat diperlukan kawasan Ampang sangat terdedah kepada tanah runtuh seperti yang terbukti daripada keruntuhan Highland Towers pada 1993.

"Nampaknya tidak ada pengajaran daripada tragedi tersebut yang meragut 48 nyawa. Kita perlu mendalami perkara ini dan bukan semata-mata mengaitkan tanah runtuh dengan hujan lebat," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut Meenakshi berkata, kekerapan dan intensiti hujan akan meningkat kesan perubahan iklim.

Jelasnya, kerajaan perlu mengambil inisiatif mengukuhkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim, seperti yang dinyatakan dalam laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Di Pulau Pinang berikutan tragedi tanah runtuh yang meragut 11 nyawa pada 2017, COI telah dilaksanakan dan membawa kepada penambahbaikan garis panduan cerun bukit dan mendapati jurutera perunding yang diupah oleh pemaju bertanggungjawab atas kecuaian.

"Kita mesti mencegah tragedi seperti ini berlaku pada masa depan sementara menjalankan langkah-langkah pemulihan untuk memastikan keselamatan penduduk di zon tanah runtuh," katanya.