9 seruan mengurus warga emas yang patuh syariah

Perasmian Persidangan Industri Warga Emas Kebangsaan: Menuju Pengurusan Patuh Syariah.
Perasmian Persidangan Industri Warga Emas Kebangsaan: Menuju Pengurusan Patuh Syariah.
A
A
A

MENJELANG tahun 2030, Malaysia bakal mencapai status Negara Tua, di mana 10-15% penduduk Malaysia akan berumur 60 tahun ke atas.

Aspek pengurusan warga emas yang memenuhi kriteria patuh syariah merupakan sebuah industri baharu dalam negara ini untuk memastikan Malaysia menjadi rujukan dunia dalam isu pengurusan warga emas.

Menurut Pengerusi dan Pengasas Darul Insyirah, Asral Widad Ahmad Asnawi, ia disebut industri kerana tumpuan terhadap warga emas ini perlu penglibatan menyeluruh daripada pelbagai pihak dan perbincangannya melibatkan pelbagai aspek.

“Kami ingin mengajak masyarakat untuk mengubah cara fikir negatif terhadap warga emas, kita nak embrace Aging Nation 2030 gracefully in a positive vibe.

“Kita mahukan negara Malaysia yang beridentitikan Islam dan mempunyai sosiobudaya Asia yang unik ini sebagai industri yang menjadi rujukan seluruh dunia,” tegasnya dalam ucapan aluan Persidangan Industri Warga Emas Kebangsaan: Menuju Pengurusan Patuh Syariah baru-baru ini.

Asral Widad, dalam ucapannya menggariskan 9 seruan hasil daripada resolusi persidangan 2 hari tersebut bermula 15-16 Mac lepas.

1. PENGENDALI pusat jagaan warga emas perlu berusaha untuk memahami fiqh warga emas dan menyediakan kemudahan serta tempat yang selesa agar ia mesra ibadah kepada warga emas.

2. SURAU DAN MASJID berperanan untuk menyediakan kemudahan pendidikan sepanjang hayat dengan menyediakan fasiliti yang mesra warga emas agar mereka seronok dan mudah ke surau dan masjid.

Artikel Berkaitan:

3. AHLI, PAKAR AKADEMIK DAN TENAGA PENGAJAR perlu berusaha menghasilkan modul pendidikan sepanjang hayat dan proaktif membuat kajian dalam mencapai ijtihad ilmu baharu agar ia dapat diaplikasikan kepada semua pihak yang berkaitan.

4. Setiap WARGA PENDIDIK perlu merangka modul khusus berkaitan warga emas di setiap peringkat sekolah supaya dapat menerapkan kecaknaan berkaitan negara tua dari usia awal kanak-kanak lagi.

5. Setiap ANAK MUDA perlu terlibat dalam menyantuni, bekerja, memikirkan idea-idea baharu untuk menyediakan sesuatu yang terbaik bagi warga emas.

6. Pihak SYARIKAT, KORPORAT DAN PENASIHAT SYARIAH dalam bidang kewangan, perbankan Islam dan muamalat perlu memastikan instrumen-instrumen wakaf, zakat, takaful, baitulmal dijadikan instrumen yang dinamik untuk memajukan industri warga emas serta menyalurkan dana untuk tujuan tersebut.

7. Pihak KERAJAAN perlu memastikan segala pembinaan pembangunan seperti perumahan, pusat beli-belah, tempat ibadah, pengangkutan awam dan sebagainya memenuhi segala keperluan dan mesra warga emas.

8. Pihak KERAJAAN juga perlu menjadi pemudah cara dan penghubung kepada semua pihak untuk bersama-sama bergerak dan merealisasikan Negara Tua yang dinamik, proaktif dan patuh syariah.

9. Semua pihak termasuk kerajaan, agensi kerajaan badan bukan kerajaan SERTA SELURUH MASYARAKAT perlu bersama-sama berganding bahu untuk memastikan perkembangan industri warga emas di Malaysia ini dapat direalisasikan dan dibangunkan di setiap kawasan demi kebahagiaan warga emas dan kesejahteraan negara Malaysia.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan berkata, warga emas sebenarnya telah diberi penghormatan melalui tanggungjawab anak-anak kepada orang tua. Oleh itu, kecaknaan dan keprihatinan kepada mereka perlulah disantun.

“Orang tua sifatnya memerlukan kasih sayang, penghormatan seperti yang ada dalam al-Quran, cuma berlakunya kepincangan dalam mendidik anak-anak mengakibatkan berlakunya pula kepincangan dalam keluarga.

“Isu kemurungan atau stres adalah penyakit yang paling bahaya dalam kehidupan. Oleh itu, tindakan harus diambil oleh semua pihak dalam mengurus dan merealisasikan impian penjagaan warga emas yang patuh syariah,” katanya dalam ucaptama.

Persidangan anjuran Darul Insyirah dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini telah turut melancarkan sebuah Gabungan Komuniti CAKNA Negara Tua 2030 untuk menjadikan usaha ke arah 2030 berjalan mengikut kerangka yang disusun.

#feminasinar