Sultan Selangor ucap tahniah kadar lengkap vaksinasi lebih 90 peratus

Sultan Sharafuddin bertitah semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, pada Isnin. Foto Media Selangor.
Sultan Sharafuddin bertitah semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, pada Isnin. Foto Media Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada rakyat Selangor kerana memberi komitmen tinggi dalam aspek penjagaan kesihatan awam dengan mencapai lebih 90 peratus individu mengambil sekurang-kurangnya dua dos vaksin Covid-19.

Sultan Selangor itu bertitah, usaha tersebut digerakkan secara menyeluruh oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) dan usaha kerajaan Selangor melalui program Vaksin Selangor (SelVax) Industri, SelVax Komuniti, SelVax Mobile, SelVax Remaja, dan SelVax Booster.

Baginda bertitah, sebanyak RM65 juta diperuntukkan oleh kerajaan Selangor untuk pengurusan kesihatan secara keseluruhan bagi tahun 2022.

"Namun, beta ingin menasihati rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun negara kini sedang beralih ke fasa endemik. Suka beta ingatkan, agar seluruh rakyat terus mengamalkan aktiviti gaya hidup sihat sebagai usaha pencegahan kepada penyakit tidak berjangkit yang lain.

"Beta juga menyeru semua rakyat mengambil peluang melakukan saringan kesihatan melalui program Saring Selangor yang bakal diadakan di seluruh negeri," titah baginda ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Sultan Sharafuddin bertitah, kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM67 juta untuk program pembangunan sektor tanaman makanan bagi tempoh lima tahun bermula 2021.

Baginda bertitah, sektor tersebut terkesan pandemik Covid-19 yang mengakibatkan projek-projek pertanian khususnya pertanian makanan menjadi perlahan dan memberi kesan kepada bekalan makanan.

"Bermula tahun ini, kerajaan Selangor merancang melaksanakan program-program yang boleh mewujudkan peluang ekonomi khususnya kepada golongan muda iaitu Program Pembangunan Agropreneur Smart Selangor Agro Park (SSAP) di daerah Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Gombak dan Hulu Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Beta berharap kerajaan negeri mempergiatkan semula pelbagai program untuk mengurangkan keperitan dan kesusahan ditanggung oleh warga tani di negeri ini bagi memastikan bekalan makanan berada pada tahap selamat dan meningkatkan sumber ekonomi warga tani," titah Sultan Selangor.

Sementara itu, baginda bertitah, kerajaan Selangor akan membina tiga buah masjid iaitu Masjid Kota Damansara 2 (Seksyen 9); Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda, Klang dan Masjid Kampung Sungai Serai 13, Hulu Langat.

Selain itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk menaiktaraf dan membina sekolah pendidikan Islam di Selangor bagi menampung permintaan terhadap pendidikan Islam dan menjamin keselesaan pelajar.

"Sebanyak empat buah sekolah baru akan dibina iaitu Sekolah Rendah Agama Kota Kemuning; Sekolah Rendah Agama Bandar Saujana Putra; Sekolah Rendah Agama Bandar Teknologi Kajang dan Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa Fasa 1 di Hulu Selangor.

"Dua buah sekolah akan dinaiktaraf iaitu Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 dan Sekolah Rendah Agama Seksyen 7 Shah Alam," titah Sultan Selangor.