X

Kindly register in order to view this article
!

Ucapan takziah untuk keluarga Haziq...

A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang disahkan antara 50 orang yang terbunuh dalam tragedi tembakan rambang di Christchurch, Jumaat lepas.

Dr Wan Azizah mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan kekuatan buat keluarga Allahyarham.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Cukup pilu mendapat berita Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang disahkan maut dalam kejadian keganasan di Christchurch, New Zealand,” katanya menerusi catatan di laman Twitternya hari ini.

Kementerian Luar awal pagi ini mengesahkan bahawa Muhammad Haziq, 17, terbunuh manakala bapa Muhammad Haziq, Mohd Tarmizi Shuib juga cedera dalam serangan itu dan menerima rawatan . Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

Turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian beliau ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah yang turut mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para Nabi, syuhada dan golongan beriman.

“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Bin Mohd Tarmizi. Bersama kita doakan agar Allah hujani segala rahmat dan keberkatan ke atas roh beliau seterusnya ditempatkan kalangan para Nabi, syuhada, dan golongan orang beriman,” kata beliau menerusi Twitternya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapan takziahnya mendoakan Allahyarham mendapat husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di syurga yang penuh nikmat Allah SWT.

Mohamed Azmin melalui catatan di Twitternya: “Seluruh rakyat Malaysia amat sedih dan berdukacita di atas pengesahan bahawa adik Muhammad Haziq Mohd Tarmizi telah terkorban dalam tragedi Christchurch tempoh hari.

“Saya berdoa semoga Allahyarham (Muhammad) Haziq mendapat husnul khatimah dan dikurniakan ganjaran syahid oleh Allah SWT. Semoga keluarga Allahyarham tabah & sabar menghadapi dugaan ini,” katanya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam utusan takziah di akaun Twitternya: “Salam takziah buat keluarga Allahyarham Muhammad Haziq yang terkorban dalam tragedi Christchurch. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al Fatihah.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerusi catatan Twitternya juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham (Muhammad) Haziq Tarmizi yang disahkan meninggal dunia di Christchurch,” kata Lim.

Sementara itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan salam takziah melalui Instragram beliau.

”Kami rasa dukacita dan berkongsi rasa simpati yang tidak terhingga atas pemergian Allahyarham Muhammad Haziq dalam insiden serangan dua buah masjid di Christchurch, New Zealand.

“Semoga Allah S.W.T. mengurniakan keampunan dan rahmatNya ke atas Al-Marhum dan menempatkan beliau bersama para syuhada' dan hamba-hambaNya yang soleh,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!