Pegawai APM, pemilik akaun Facebook beri keterangan pada Selasa

PDRM
PDRM
A
A
A

AMPANG - Seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pemilik akaun Facebook akan dipanggil memberikan keterangan pada Selasa berhubung isu melanggar arahan dan penyebaran video terbabit ketika tragedi tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai di Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pegawai APM terbabit dipanggil berikutan telah ingkar arahan yang diberikan oleh Komander Operasi Bencana dan telah masuk ke lokasi bencana yang merupakan kawasan larangan tanpa kebenaran, di mana akan menjejaskan keselamatan pasukan carian serta mengganggu usaha operasi menyelamat.

Menurutnya, bagi pemilik akaun Facebook berkenaan pula dipanggil berikutan tindakannya menyebarkan video yang memaparkan Komander Operasi Bencana sedang memberikan arahan ketika tragedi tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai di Ampang.

"Kedua-dua individu ini akan dipanggil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berhubung perkara tersebut pada Selasa.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, Seksyen 188 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Khamis, tular video memaparkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya selaku Komander Operasi Bencana sedang memberi arahan dan kawalan tempat kejadian tanah runtuh di kawasan Jalan Mega Jaya, Taman Mega, Ampang.

Video berdurasi 55 saat itu telah disebarkan oleh seorang pemilik akaun Facebook yang menunjukkan salah seorang pegawai APM telah ingkar arahan yang diberikan oleh Komander Operasi Bencana dengan memasuki kawasan bencana tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan: