Datuk Seri, dua individu didakwa pecah amanah, subahat

Eng Wan, Guat Wei dan Jia Meng didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan subahat berhubung sewa unit pejabat sebanyak RM52,000, tahun lalu.
Eng Wan, Guat Wei dan Jia Meng didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan subahat berhubung sewa unit pejabat sebanyak RM52,000, tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat hartanah bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas masing-masing satu pertuduhan melakukan pecah amanah dan subahat berhubung sewa unit pejabat sebanyak RM52,000, tahun lalu.

Datuk Seri Chua Eng Wan, 48; Teh Guat Wei, 31 dan Chua Jia Meng, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pindaan di hadapan hakim Sabariah, Eng Wan didakwa sebagai ejen iaitu seorang pengarah sebuah syarikat hartanah, diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang RM 52,000 iaitu sewa sebuah unit pejabat di Desa Park City Kepong.

Dia didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah yang mana dia dengan curangnya telah menggunakan wang berkenaan di unit pejabat berkenaan pada 11 Oktober 2021.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara di hadapan hakim Kamarudin, Guat Wei dan Jia Meng didakwa bersubahat dalam melakukan pecah amanah jenayah terhadap unit pejabat dengan jumlah sewa sama dengan Eng Wan di lokasi dan tarikh sama.

Dua tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak dan Zulaaikha Mohd Apandi, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili Felix Saw Chia Hui.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 serta 20 April depan.