Petisyen DUN Bukit Batu adalah wajar: Zambry

Zambry ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Zambry ketika ditemui pemberita pada Isnin.
A
A
A

LUMUT - Barisan Nasional (BN) akan meneliti asas kukuh dan mempunyai merit untuk dipertimbangkan berhubung petisyen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu sepertimana dikemukakan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pada Ahad.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan awal telah pun dilakukan untuk melihat semula keputusan DUN itu yang menyaksikan calon BN daripada MIC, S Suppayah tewas dengan majoriti hanya 137 undi.

"Bagi kes Bukit Batu ini, keadaan kemenangan pihak lawan begitu tipis sekali, jadi di situ memang ada kewajaran untuk dikemukakan oleh BN nanti.

"Saya akan berbincang dengan Presiden MIC untuk selanjutnya dan di pihak BN, kita akan lihat apakah langkah seterusnya yang boleh dilakukan," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan, setakat ini hanya satu petisyen dicadangkan untuk dikemukakan oleh BN berhubung keputusan PRN Johor.

"Sehingga kini, kita belum ada lagi maklum balas dari rakan-rakan yang lain (kerusi tewas lain)," katanya.

Vigneswaran pada Ahad memaklumkan bahawa parti itu akan mengemukakan petisyen DUN Bukit Batu kerana undi rosak jauh lebih tinggi daripada majoriti.

Suppayah, calon BN daripada MIC tewas dengan majoriti 137 undi berbanding undi rosak yang difahamkan lebih 600.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu, membuat pengiraan semula kertas undi bagi DUN Bukit Batu selepas diminta BN apabila keputusan tidak rasmi menyaksikan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi.

Sen Sern mendapat 9,439 undi, manakala, S Suppayah, memperoleh 9,302 undi.

PRN Johor menyaksikan BN menang di 40 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi, Pakatan Harapan (11 kerusi) dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).