Serah memorandum tuntut pengeluaran KWSP RM10,000

Mohammad Farhan (tengah) ketika sesi 'live' di Astro Awani, pada Isnin
Mohammad Farhan (tengah) ketika sesi 'live' di Astro Awani, pada Isnin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan wakil pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyerahkan memorandum kepada Parlimen berhubung tuntutan pengeluaran sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’, pada Isnin.

Wakil kumpulan tersebut, Mohammad Farhan Jailani berkata, memorandum itu sepatutnya diserahkan kepada tiga pemimpin iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Mohammad Farhan, bagaimanapun hanya wakil Tengku Zafrul hadir menerima memorandum berkenaan di laluan masuk ke bangunan Parlimen.

"Kami hadir bersama rakan-rakan pencarum untuk menyerahkan memorandum tuntutan pengeluaran kali terakhir KWSP sebanyak RM10,000 secara 'one-off' kepada tiga wakil.

"Kami menuntut sokongan semua ahli Parlimen supaya suara rakyat didengar, disampaikan dan dibahaskan di Dewan Rakyat dan mendesak Perdana Menteri (Ismail Sabri) untuk meluluskan tuntutan pengeluaran kami ini," katanya ketika sesi 'live' di Astro Awani, pada Isnin.

Mohammad Farhan berkata, pencarum mempunyai hak untuk menuntut pengeluaran wang simpanan itu mengikut Akta KWSP 1991.

"Kami dengan tegasnya sebagai pencarum KWSP yang terkesan ingin menuntut hak kami menurut Akta KWSP 1991 Seksyen 54 dan kami tidak akan sesekali berhenti sehingga wang tersebut berada dalam akaun kami.

"Kami juga mengingatkan semua ahli Parlimen yang dilantik melalui proses undang-undang yang sah dan sedang berada di dalam dewan ini supaya berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohammad Farhan, mereka sudah menghantar emel kepada semua ahli Parlimen yang berada di dalam Dewan Rakyat termasuk Ismail Sabri dan Muhyiddin.