Rangnick tagih khidmat Fernandes

Fernandes. - Foto Getty Images
Fernandes. - Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI interim Manchester United, Ralf Rangnick berharap perancang tengah Bruno Fernandes dapat diturunkan dalam aksi kalah mati kedua Liga Juara-Juara berdepan Atletico Madrid di Old Trafford, pada Rabu.

Menurut Rangnick, pemain Portugal itu dilaporkan tidak sihat sejak beberapa hari lalu hingga menyaksikannya tidak beraksi berdepan Tottenham Hotspur, Ahad lalu.

Katanya, justeru Fernandes diharap kembali cergas dan mampu beraksi berdepan skuad kendalian Dieo Simeone itu.

“Kita akan berdepan dengan salah satu pasukan terbaik La Liga, Atletico Madrid dan kita perlu turunkan kesebelasan terbaik.

“Bagaimanapun kita dimaklumkan dengan situasi semasa Fernandes yang tidak sihat hingga menyebabkan dia tidak menjalani latihan semalam (Ahad).

“Diharapkan dia dapat kembali menyertai latihan hari ini (Isnin) kerana kehadirannya pada perlawanan ini sangat diperlukan dalam usaha mengukuhkan jentera tengah selain membantu jentera serangan pasukan,” katanya.

Selain Fernandes yang dilaporkan tidak sihat, United juga bakal kehilangan khidmat dua lagi pemain, Scott McTominay yang dilaporkan mengalami masalah kecederaan betis manakala Luke Shaw (positif Covid-19), bagi mengharungi perlawanan berkenaan.

Untuk rekod, Manchester United dan Atletico Madrid sekadar terikat 1-1 pada aksi pertama saingan kalah mati di Stadium Wanda Metropolitano, 24 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rangnick mahu kesemua pemain memberikan aksi terbaik ketika berdepan Atletico Madrid, biarpun memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.

Katanya, kelebihan itu tidak mustahil boleh dipadamkan oleh pelawat pada bila-bila masa sekiranya kesebelasan The Red Devils itu leka dan membuat kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya.

“Secara keseluruhannya, mereka (pemain) perlu memberikan aksi terbaik dan pada masa sama tidak melakukan kesilapan bagi menjamin kejayaan,” katanya.