Malaysia akan terus komited dalam program UNESCO: TPM

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mendengar pembentangan para perwakilan semasa mempengerusikan Mesyuarat sesi ke 14- Majlis Antara Kerajaan (IGC) di Ibu Pejabat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) hari ini. Foto: Bernama
A
A

PARIS - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakhiri lawatan kerja ke Perancis pada Rabu dengan menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menyokong program Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Lawatan empat hari beliau bermula Ahad lalu merupakan yang pertama ke negara ini selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri 12 Mei tahun lepas dengan agenda utama lawatan itu bagi mempengerusikan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) dan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan (IGC) bagi MOST.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan lawatan saya ke Perancis ini. Selain mewakili Malaysia mempengerusikan mesyuarat Biro MOST dan mesyuarat Majlis IGC bagi MOST, saya juga berpeluang bertemu dengan beberapa pemimpin masyarakat di Perancis.

“Ini termasuk ahli-ahli Parlimen (Perancis) dalam usaha mempromosi minyak kelapa sawit dan kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama dan RTM sebelum berlepas ke tanah air, di sini pada Rabu.

MOST ialah program sains antara kerajaan UNESCO mengenai transformasi sosial.

Dr Wan Azizah menghadiri kedua-dua mesyuarat itu atas kapasitinya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan sebagai presiden Biro IGC bagi MOST bagi penggal 2017 hingga 2019.

Katanya, sepanjang mempengerusikan dua mesyuarat tersebut pelbagai pihak termasuk dari UNESCO dan Perancis menyatakan penghargaan di atas peranan dan sumbangan yang dimainkan Malaysia dalam pertubuhan itu khususnya MOST.

Beliau berkata, dalam ucapan penutupnya pada Sesi ke-14 IGC bagi MOST, beliau turut mengumumkan melepaskan jawatan sebagai presiden Biro IGC bagi MOST yang telah dipegang Malaysia selama dua penggal mulai 2015-2017 sehingga 2017-2019.

“Walaupun Malaysia tidak lagi boleh menjadi presiden disebabkan jawatan ini telah disandang selama dua penggal berturut-turut, Malaysia akan terus memberi komitmen kepada program MOST dan menyokong ahli-ahli biro yang akan dilantik bagi penggal berikutnya.

“Saya yakin semua pihak sependapat bahawa program MOST merupakan satu platform penting yang menghubungkan antara komuniti penyelidik dan pembuat polisi dalam sains sosial, ke arah mencapai Sustainable Development Goals 2030 (SDG 2030),” katanya.

Dalam lawatan singkat itu, Dr Wan Azizah turut menghadiri beberapa program di luar dua mesyuarat tersebut antaranya majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Perancis dan merasmikan Festival Buah-buahan Tropikal Malaysia yang diadakan di ibu pejabat UNESCO.

Beliau juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay dan bertemu dengan dengan ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis.

Dr Wan Azizah turut berkesempatan berkunjung ke Masjid Besar Paris dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara Perancis bagi Orang Kurang Upaya Sophie Cluzel.- Bernama