Dagangan Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia memulakan urus niaga pada minggu ini lebih tinggi, disokong oleh minat belian dalam kebanyakan indeks. - Foto 123RF
Bursa Malaysia memulakan urus niaga pada minggu ini lebih tinggi, disokong oleh minat belian dalam kebanyakan indeks. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia memulakan urus niaga pada minggu ini lebih tinggi, disokong oleh minat belian dalam kebanyakan indeks, kata penganalisis.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.8 mata kepada 1,569.02 berbanding 1,568.22 pada penutup hari Jumaat.

Indeks utama itu dibuka 2.48 mata lebih kukuh pada 1,570.70.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 216 berbalas 131, manakala 187 kaunter tidak berubah, 1,767 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 139.36 juta unit bernilai RM73.92 juta.

Sementara itu, menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, Wall Street ditutup rendah selepas didorong oleh saham teknologi dan pertumbuhan yang menyebabkan kemerosotan ketara.

Beliau menambah, pelabur masih lagi bimbang dengan konflik di Ukraine dan pada masa yang sama perhatian turut beralih kepada mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) mesyuarat minggu ini.

Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) kehilangan 230 mata manakala Nasdaq susut sebanyak 286 mata.

Artikel Berkaitan:

"Kami berpendapat Fed akan mengetatkan dasar monetari tahun ini untuk melawan kadar inflasi yang tinggi.

"Di bursa tempatan, kami menjangkakan sentimen pelabur akan terus tidak menentu walaupun aktiviti memburu saham berharga murah akan muncul. Justeru, kami mengunjurkan FBM KLCI akan berada dalam aliran yang sempit dan berlegar antara 1,560-1,580 untuk hari ini," katanya dalam nota pada Isnin.

Bagi pasaran minyak pula, minyak sawit mentah susut ke bawah paras RM7,000 dengan minyak mentah Brent kekal tinggi melebihi paras AS$110 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.94, Petronas Chemicals menokok enam sen kepada RM9.76, IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM6.43, manakala Public Bank susut dua sen kepada RM4.38, Press Metal turun sembilan sen kepada RM6.41 dan CIMB tidak berubah pada RM5.05.

Untuk saham aktif, Green Packet dan Bumi Armada naik 1.5 sen, masing-masing pada 11 sen dan 41.5 sen sementara dan Advance Synergy lemah 1.5 sen kepada 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 16.15 mata kepada 11,130.74, Indeks FBM Emas Syariah menokok 35.87 mata kepada 11,798.75, FBM 70 bertambah 62.02 mata kepada 13,134.77, Indeks FBMT 100 lebih tinggi 15.34 mata kepada 10,832.56 dan FBM ACE meraih 35.25 mata kepada 5,293.73.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.03 mata kepada 204.72, Indeks Perkhidmatan Kewangan peroleh 11.34 mata kepada 16,261.36, manakala Indeks Perladangan susut 17.56 mata kepada 8,187.14. - Bernama