Pemimpin DAP salah faham, kata Razlan

Mohd Razlan (tengah, baju putih) hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan berhubung kenyataan kontroversinya.
Mohd Razlan (tengah, baju putih) hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan berhubung kenyataan kontroversinya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii memperjelaskan maksud 'tembak' yang dikatakan ditujukan kepada DAP menerusi Twitternya.

Menurutnya, perkataan tembak ini mempunyai banyak maksud.

"Tembak ini boleh juga membawa maksud balun, balas kata-kata, sembur...ia macam bahasa pasar...di sini maksudnya bukanlah saya suruh angkat senjata atau apa.

"Maksud tembak itu telah disalah tafsir oleh pemimpin DAP yang kurang fasih Bahasa Melayu," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Mohd Razlan semalam ke Bukit Aman kira-kira jam 10.30 pagi untuk dirakam keterangan berikutan kenyataannya itu yang didakwa berbaur ancaman terhadap DAP.

Mohd Razlan disiasat oleh Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Bukit Aman dan disiasat mengikut Seksyen Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan mendakwa, pemimpin DAP terutama dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kebanyakannya tidak mahir dalam Bahasa Melayu.

Katanya, Bahasa Melayu ini bukannya boleh diterjemah terus kepada Bahasa Inggeris kerana ia mempunyai maksud tersendiri.

Artikel Berkaitan:

"Ia banyak maksud seperti juga bahasa pasar. Kita tahu kebanyakan pemimpin DAP tidak tahu sangat Bahasa Melayu. Jadi, biar mereka belajar bahasa dan budaya kita dulu," katanya.

Tambahnya, kes ini telah dijelaskan dan tidak bermaksud untuk mengancam sesiapa, namun itu hanya bahasa pasar politik sahaja.

Sebelum ini, Mohd Razlan menerusi Twitternya ada menyebut eloknya puak DAP ditembak.

Status yang dimuat naik menerusi Twitter berkenaan dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol dari DAP, Chew Chong Sin yang mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan kes pembunuhan di dua masjid di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama antara UMNO dan PAS sebelum menarik balik kenyataan.