Cukup-cukuplah PRN, tunggu sahaja PRU15

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Command Center BN di Johor Bahru pada Sabtu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Command Center BN di Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

PARTI mana yang menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akhirnya terjawab pada Sabtu apabila Barisan Nasional (BN) berjaya mendapat mandat daripada rakyat bagi membentuk kerajaan negeri.

BN mendapat 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, sekali gus membentuk majoriti dua pertiga.

Pakatan Harapan (PH) pula menang 11 kerusi, selain Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing hanya satu kerusi.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan BN menawan PRN Melaka pada November lalu dengan 21 daripada 28 kerusi DUN, juga meraih majoriti dua pertiga.

Nampaknya taktikal BN yang tekad bergerak secara solo tanpa Muafakat Nasional (MN) bersama Pas menjadi.

Biarpun dihambat kontroversi apabila ada yang mengaitkan BN dengan kluster mahkamah dan isu 1MDB, namun ia bukan lagi ‘senjata' buat lawan.

Gabungan parti dalam BN iaitu UMNO, MCA dan MIC kini dilihat kembali mendapat kepercayaan rakyat selepas dihukum pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Malah keputusan pucuk pimpinan menampilkan calon baharu dan muda kali ini berjaya menambat hati pengundi.

Artikel Berkaitan:

Namun di sebalik kemenangan besar pada PRN Johor, jumlah peratusan keluar mengundi kurang memberangsangkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 54.2 peratus sahaja, sekali gus menjadikan pilihan raya paling hambar dalam sejarah negara.

Untuk rekod, PRN Sabah mencatatkan jumlah keluar mengundi sebanyak 66.61 peratus, manakala PRN Melaka mencatatkan 65.85 peratus.

Bimbang penularan jangkitan Covid-19 atau rakyat sudah muak dengan masalah politik yang tidak berkesudahan mungkin menyumbang kepada faktor mereka tidak keluar mengundi.

Kempen cara baharu yang terhad akibat pandemik juga dilihat tidak mampu memujuk rakyat untuk keluar mengundi.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim yang merupakan Ketua Penyelidikan Ilham Center untuk PRN Johor berkata, sudah dijangka fenomena peratusan mengundi yang rendah akan berlaku pada PRN Johor.

Beliau berkata, kajian Ilham Centre sebelum ini menunjukkan besar kemungkinan ramai dalam kalangan pengundi muda, golongan mempunyai status ekonomi agak tinggi terutama di bandar dan pinggir bandar tidak keluar mengundi kerana mereka menghadapi masalah kelesuan politik atau menyampah dengan senario dan drama politik negara sekarang.

Kecewa

Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, jumlah peratusan undi yang rendah itu dipengaruhi rasa muak dan kecewa pengundi terhadap keadaan politik semasa tanah air selepas PRU14.

Beliau berkata, ramai juga pengundi berhati-hati dan takut dengan jangkitan Covid-19 menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi.

Selain itu, kurangnya pengundi yang tinggal di negeri lain seperti Singapura, Selangor dan Melaka disebabkan mereka baru sahaja pulang ke kampung semasa cuti Tahun Baharu Cina lalu.

Walau apa pun, keputusan sudah muktamad dan diharap BN segera merealisasikan manifesto yang ditawarkan terdiri daripada lima teras utama dengan menampilkan 43 inisiatif bagi menjamin kesejahteraan dan kestabilan negeri.

Wakil rakyat yang dipilih perlulah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi seperti dicanang ketika tempoh berkempen tempoh hari.

Jangan hanya aktif turun padang bertemu penduduk ketika mahu meraih undi sahaja, tapi apabila sudah menang, batang hidung pun tak nampak.

Diharapkan juga tiada lagi negeri yang mahu mengadakan PRN selepas ini. Cukup-cukuplah tiga PRN berlangsung selepas PRU14. Tunggu sahaja PRU15 kalau berhajat nak tukar kerajaan.

Melihatkan pelbagai varian Covid-19 yang muncul daripada Delta, Omicron dan terbaharu kacukan Deltacron pula, lebih baik semua pemimpin tidak kira parti teruskan sahaja kerja untuk memulihkan ekonomi negara.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Penyunting Sinar Harian