Malaysia sedia bantu CFCM untuk manfaat Muslim Perancis: TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media bagi mengakhiri lawatan kerja selama empat hari di Paris semalam. Foto: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media bagi mengakhiri lawatan kerja selama empat hari di Paris semalam. Foto: Bernama
A
A
A

PARIS - Malaysia bersedia membantu French Council of the Muslim Faith (CFCM) dalam beberapa perkara untuk manfaat golongan Muslim di Perancis termasuk melatih imam-imam dan mursyidah-mursyidah di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau menyatakan komitmen itu susulan pertemuannya dengan Naib Presiden CFCM, Anouar Kbibech pada Rabu, yang turut meminta bantuan Malaysia bagi memperkasa industri pelancongan halal di negara ini yang dikendalikan masyarakat Muslim Perancis.

“Pelbagai perkara telah dibincangkan (dalam pertemuan dengan Anouar Kbibech) bagi manfaat bersama termasuk bagaimana Malaysia boleh membantu golongan Muslim di Perancis melalui CFCM di mana salah satu daripada perkara itu ialah supaya Malaysia dapat membantu memperkenalkan prosedur dan menyediakan latihan bagi imam-imam dan mursyidah-mursyidah di Perancis.

“Saya dimaklumkan terdapat kira-kira 2,500 masjid di Perancis dan CFCM menyatakan kesediaannya untuk menghantar calon-calon imam dan mursyidah ke Malaysia bagi menjalani latihan tersebut,” kata Dr Wan Azizah kepada Bernama dan RTM di sini, hari ini.

CFCM adalah sebuah badan perantara rasmi masyarakat Muslim Perancis dengan kerajaan negara ini dalam perkara berkaitan agama Islam.

Dr Wan Azizah berkata, CFCM juga memohon bantuan Malaysia bagi menyelesaikan isu persijilan halal yang telah diusahakan sejak beberapa tahun.

“Saya menjemput wakil CFCM untuk melawat Malaysia supaya dapat berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai prosedur persijilan halal Jakim yang boleh diadaptasi di Perancis,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, beliau juga memberi jaminan kepada Anouar bahawa Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Dr Afzar Mohamad Mustafar akan menguruskan permintaan-permintaan CFCM itu dengan badan-badan berkaitan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan itu, Dr Wan Azizah turut mengemukakan idea kepada Anouar mengenai penubuhan sebuah entiti seperti Tabung Haji di Malaysia bagi merancang dan mengurus perjalanan bakal jemaah haji Perancis.

“Kita memperkenalkan idea ini kepada CFCM dan mereka mungkin akan memikirkan bagaimana untuk melaksanakannya kerana di Perancis ini tidak ada entiti untuk menguruskan perjalanan bakal jemaah haji ke tanah suci,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau turut mengundang Anouar dan pimpinan CFCM ke Persidangan Halal Antarabangsa 2019 yang akan diadakan di Kuala Lumpur, awal bulan hadapan.

Dr Wan Azizah mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Perancis hari ini di mana agenda utama lawatan itu bagi mempengerusikan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) dan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST.

MOST ialah program sains antara kerajaan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai transformasi sosial.- Bernama