Covid-19: Lebih 300 kanak-kanak dimasukkan ke hospital sehari

Forum awam bertajuk ‘Vaksin Covid-19: Adakah Anak Anda Perlukannya?’ yang bersiaran secara dalam talian, pada Ahad.
Forum awam bertajuk ‘Vaksin Covid-19: Adakah Anak Anda Perlukannya?’ yang bersiaran secara dalam talian, pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat 119,000 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dilaporkan setakat Januari hingga Mac 2022.

Pakar perunding penyakit berjangkit kanak-kanak, Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff berkata, kanak-kanak tersebut bukan sahaja mendapat gejala ringan, tetapi ada antara mereka mendapat gejala serius sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Kalau kita lihat di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pun, data yang ditunjukkan pada awal bulan Januari, kemasukan kanak-kanak bawah 12 tahun kurang daripada 100 kes sehari.

“Tetapi pada bulan Februari, berlaku peningkatan ketara di mana terdapat lebih 300 kes sehari. Malah sudah ada kematian kanak-kanak yang berlaku tahun ini.

“Justeru, ini menandakan bahawa jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan kerana ada antara mereka yang mendapat komplikasi serius sehingga memerlukan rawatan di hospital dan juga ICU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum awam bertajuk ‘Vaksin Covid-19: Adakah Anak Anda Perlukannya?’ yang bersiaran secara dalam talian pada Ahad.

Forum tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dan Program Immunise4life.

Artikel Berkaitan:

Profesor Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin
Profesor Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin

Mengulas isu sama, Pakar Perunding Intensif Pediatrik, Profesor Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin berkata, sepanjang minggu lepas, terdapat 12,000 kanak-kanak berumur 0 hingga 4 tahun, manakala 13,000 berumur 11 tahun telah dijangkiti kuman Covid-19.

“Untuk kanak-kanak yang masuk ke hospital, mereka ada beberapa kategori. Kalau kita lihat daripada tahun lepas, biasanya mereka masuk dalam kategori yang rendah. Tetapi kali ini masuk dalam keadaan kategori empat dan lima. Lebih ramai berbanding tahun lepas.

“Kanak -kanak ini boleh mendapat dua jenis kesan daripada jangkitan kuman Covid-19, antaranya kesan terhadap badan dan juga keradangan.

“Kalau kita lihat golongan tersebut pada tahun ini mudah terkena serangan paru-paru, jantung serta saraf dan otak.

“Pada masa sama mereka juga mungkin boleh mengalami sindrom keradangan berbilang sistem pada kanak-kanak (MISC). Penyakit ini bermula daripada jangkitan kuman Covid-19 yang pertama, kemudian datang dalam keadaan badan diserang oleh imun sistemnya sendiri,” katanya.