Puteri Wangsa titik pertama Muda: Amira Aisya

Tangkap layar video Syed Saddiq (kiri) dan Amira Aisya yang dimuat naik di laman Twitter pada Ahad.
Tangkap layar video Syed Saddiq (kiri) dan Amira Aisya yang dimuat naik di laman Twitter pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan sulung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi titik pertama perjuangan parti itu dalam pentas politik negara.

Calon Muda di DUN berkenaan, Amira Aisya Abd Aziz menganggap kemenangan itu merupakan peluang bagi Muda membuktikan keputusan bertanding dalam pilihan raya bukan sekadar untuk menang tetapi untuk berkhidmat.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli parti Muda, rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) dan sudah tentu terutama sekali kepada warga Puteri Wangsa kerana memberi kepercayaan ini kepada saya,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter pada Ahad.

Amira Aisya yang juga Setiausaha Agung Muda itu mencatatkan kemenangan selesa di kerusi DUN Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi mengatasi lima lagi pencabar.

Sementara itu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berterima kasih kepada anak muda Johor kerana menaburkan kepercayaan kepada parti berusia 'setahun jagung' itu.

“Ini adalah pilihan raya pertama kami. Parti Muda yang baru bertapak dua bulan, dengan bendera baharu, diberikan kepercayaan yang agak baik.

“Terima kasih, kami terhutang budi. Kami akan teruskan budaya khidmat, menang atau kalah, kerja tetap akan diteruskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Setelah tewas enam daripada tujuh kerusi DUN yang ditandingi dalam PRN Johor, Muda nekad untuk menjadi pembangkang yang berkualiti.

Syed Saddiq berkata, parti itu akan menjadi pembangkang yang melakukan semak dan imbang secara berkesan bagi memastikan rakyat Johor mendapat pembelaan sewajarnya.


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my