Dua lelaki nyaris maut, BMW jatuh gaung

Keadaan kereta jenis BMW yang terbabas dan terhumban dalam gaung di Kilometer 377.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Slim River pada Ahad.
Keadaan kereta jenis BMW yang terbabas dan terhumban dalam gaung di Kilometer 377.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Slim River pada Ahad.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Dua lelaki terselamat selepas kereta jenis BMW dinaiki terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam dua meter di Kilometer 377.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Slim River di sini pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 11.45 pagi itu, pemandu kereta berusia 20 tahun dan seorang penumpang berusia 37 tahun hanya mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, kereta dipandu hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri sebelum masuk ke dalam gaung.

"Kemalangan mengakibatkan pemandu cedera parah di bahagian kepala, manakala seorang lagi cedera ringan.

"Kedua-dua mereka telah dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata, nahas berlaku telah menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan lebih satu kilometer.

"Punca kejadian masih dalam siasatan, kes bagaimanapun disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kedua-dua mangsa berjaya dibawa naik dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Slim River.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan akibat kemalangan itu.

"Anggota menggunakan pengusung untuk membawa naik mangsa dari tebing dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya," katanya.