Elak pembaziran bekalan air

Mahadon (tengah) ketika mengadakan lawatan di Sungai Chohong, baru-baru ini.
Mahadon (tengah) ketika mengadakan lawatan di Sungai Chohong, baru-baru ini.
A
A
A

TANGKAK - Penduduk daerah ini dinasihatkan sentiasa berjimat-cermat terhadap penggunaan air.

Pegawai Daerah Tangkak, Mahadon Marnin berkata, meskipun berlaku taburan hujan di kala musim panas, namun sumber itu harus digunakan secara berhemah bagi situasi yang tidak diduga.

“Alhamdulillah, daerah Tangkak ada juga dibasahi hujan untuk tempoh beberapa kali pada minggu lalu. Berbanding beberapa daerah lain, langsung tiada hujan sehingga menyebabkan takungan air mereka berada pada paras berjaga-jaga.

“Malah, ada yang mula mengalami catuan air. Namun, meskipun Tangkak jarang berlaku catuan air, namun itu bukan alasan untuk sumber ini digunakan sesuka hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Tegas beliau, bagaimanapun bekalan air perlu digunakan dengan berhemah khususnya sepanjang tempoh cuaca yang tidak menentu ini.

“Penduduk di Tangkak mendapat bekalan dari air terjun Gunung Ledang yang telah dirawat menyebabkan sumber ini tidak pernah putus.

“Malah, selain Tangkak, sumber mata air itu turut membekalkan kepada sebahagian besar penduduk daerah Muar,” katanya.

Mahadon berkata, kini seramai kira-kira 150,000 pengguna air di daerah ini yang menggunakan sumber berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, jika hujan berlarutan, Tangkak tidak akan mengalami catuan air. Saya menyeru agar penduduk daerah ini berjimat-cermat dalam penggunaannya dan tidak membazir.

“Dalam masa sama, sepanjang cuaca panas ini, elakkan pembakaran yang berisiko menyumbang kepada pemanasan haba selain menjaga kesihatan dengan minum air masak secukupnya,” katanya.

Bagi sebarang pertanyaan pengguna boleh hubungi talian pusat maklumat Ranhill SAJ di nombor 1800-88-7474.