Pemergian Sivabalan kehilangan besar sukan hoki

Rakan dan bekas pemain hoki yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di Jabatan Forensik HROB Ipoh pada Ahad. Gambar kecil: Nadarajan (kiri) dan Ranieswaran.
Rakan dan bekas pemain hoki yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di Jabatan Forensik HROB Ipoh pada Ahad. Gambar kecil: Nadarajan (kiri) dan Ranieswaran.
A
A
A

IPOH - Pemergian bekas pemain hoki kebangsaan, S Sivabalan merupakan satu kehilangan besar kepada arena hoki tempatan.

Pemain hoki yang juga adik ipar mendiang, RP Nadarajan, 52, berkata, Sivabalan bukan sahaja seorang pemain yang baik, malah tegas dalam menjalankan tugasnya sebagai jurulatih.

"Di luar padang dia memang suka bergurau, tetapi bila masuk padang, dia sangat tegas dan akan bermain bersungguh-sungguh.

"Baginya, sukan hoki adalah sebahagian hidupnya kerana itu walaupun dah menyertai lebih 100 perlawanan (ketika bermain dalam skuad hoki kebangsaan), dia tetap dan masih aktif bermain sehingga sekarang.

"Sudah tentulah pemergiannya satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga sukan hoki tempatan," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Ahad.

Sivabalan, 59, meninggal dunia selepas dilaporkan rebah ketika menyertai kejohanan hoki veteran bagi sambutan ke-125 Kelab Diraja Ipoh di sini pada Sabtu.

Mendiang dilaporkan tidak sedarkan diri sekitar jam 3.30 petang di tepi padang hoki di Bandar Siber, Simpang Pulai semasa berhenti rehat selepas perlawanan masa pertama.

Nadarajan berkata, mendiang yang merupakan kapten bagi pasukan hoki Royal Klang Club sangat teruja untuk menyertai kejohanan berkenaan dan sempat membuat persiapan serta latihan lebih sebulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Boleh dikatakan ramai bekas pemain dan pemain yang pernah berada di bawah latihannya turut menyertai kejohanan ini.

"Sebab itu, dia sangat gembira untuk menyertai kejohanan ini, siapa sangka ini kejohanan terakhir dia sertai.

"Saya berterima kasih kepada rakan dan pemain yang cuba untuk memberikan bantuan kepadanya sewaktu kejadian, kami sekeluarga menerima pemergiannya," katanya.

Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki masing-masing berusia 25 dan 21 tahun.

Mayat mendiang akan dibawa ke kediamannya di Jalan Tamarind, Taman Selatan Klang, Selangor sebaik urusan bedah siasat selesai bagi urusan pengebumian yang dijadualkan jam 4 petang pada Isnin.

Sementara itu, bekas pemain yang juga rakan baik mendiang, S Ranieswaran, 51, berkata, Sivabalan yang bermain di posisi tengah digelar 'pemain tegar' dalam kalangan rakan-rakan kerana kesungguhannya lebih 30 tahun dalam sukan hoki.

Katanya, beberapa tahun lalu, mendiang pernah membuat pembedahan pintasan jantung dan apabila telah sembuh, kembali aktif dalam sukan hoki dengan menyertai kejohanan dan permainan bagi kategori veteran.

"Seminggu sekali dia mesti turun padang untuk latihan dan setiap kali ada kejohanan untuk veteran-veteran, dia mesti mahu sertai.

"Baginya, selagi ada daya, dia akan bermain," katanya.

Sivabalan pernah bermain mewakili skuad hoki kebangsaan pada era 80-an dan turut bermain untuk pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang pada era 90-an yang dikenali sebagai Kelab Kilat.