Melaka larang straw plastik Mei ini

Straw plastik bakal dilarang penggunaannya di Melaka bermula Mei nanti. (Gambar kecil: Kok Kiew)
A
A

MELAKA - Penggunaan penyedut minuman atau straw plastik bakal dilarang penggunaannya di semua premis makanan di negeri ini apabila kerajaan negeri melaksanakan kempen tersebut mulai 1 Mei depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew berkata, langkah tersebut sebagai usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri menjaga kebersihan negeri ini.

Menurutnya, serentak dengan itu, semua pengusaha restoran dan premis makanan dinasihatkan supaya tidak membekalkan straw plastik kepada pelanggan mereka.

“Bagaimanapun larangan penggunaan straw plastik ini masih di peringkat percubaan dan ia lebih kepada untuk mendidik masyarakat terhadap amalan ini manakala pelanggan masih boleh meminta sekira diperlukan daripada pengusaha kedai tanpa dikenakan sebarang caj.

“Ini merupakan satu langkah awal bagi mengurangkan penggunaan straw plastik dan kita meminta orang ramai dapat memberikan kerjasama untuk menjayakan usaha penjagaan alam sekitar,” katanya.

Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Pertama, Penggal Kedua DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Othman (BN-Kuala Linggi) yang bertanyakan langkah diambil kerajaan negeri untuk mengekalkan kebersihan negeri ini.

Larangan penggunaan straw plastik sudah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala Putrajaya akan melaksanakan larangan tersebut mulai tahun depan.