Air Sungai Buloh masih tercemar

Air sungai berbau busuk dan berminyak didakwa berpunca daripada sisa kumbahan kilang.
Air sungai berbau busuk dan berminyak didakwa berpunca daripada sisa kumbahan kilang.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Nelayan di Bagan Sungai Buloh merungut apabila sungai masih tercemar teruk dengan sisa kumbahan kilang sehingga mengakibatkan pendapatan mereka terus terjejas.

Lebih dikesali, bau busuk dengan sisa berminyak berwarna hitam turut menjejaskan pengunjung luar yang menaiki bot di jeti untuk ke Sky Mirror.

Sebelum ini, isu sama turut dipanjangkan kepada ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dan lawatan mengejut diadakan bagi menyantuni masalah pencemaran itu.

Bagaimanapun, sehingga kini masalah masih berulang, seolah-olah tiada tindakan proaktif membendungnya.

Wakil nelayan, Kahar Buntal, 67, berkata, pencemaran sungai sejak kebelakangan ini menjadi lebih teruk apabila sisa kumbahan kilang berbau busuk dan berminyak.

“Sebelum ini, kami ada periksa punca air busuk dan kotor datangnya dari sisa kumbahan kolam udang berhampiran tetapi beberapa lepas itu punca dikesan dari sisa kumbahan kilang dari Ijok.

“Memang pakcik dari dulu selalu bangkitkan isu ini dan kami bimbang pencemaran ini jadi lebih teruk seperti di Sungai Klang.

“Sekarang ni pun tengah panas isu pencemaran sungai di Pasir Gudang, tak akan nak jadi macam tu barulah tindakan tegas diambil?.

Artikel Berkaitan:

“Kami pun malu bila ada orang luar datang sini nak naik bot tapi terpaksa berdepan bau busuk dengan air berminyak hitam. Sampai bila nelayan kawasan ni nak hadap benda macam ni?

“Nelayan tak ada kuasa nak kesan si pelaku yang sewenang-wenangnya buang sisa kumbahan kilang ke sungai sebab ini tanggungjawab kerajaan untuk bantu selesaikan,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Mahang, Baharom Hussien turut berkongsi masalah sama apabila aliran sungai di kampung itu turut berbau busuk dan berwarna hitam.

“Aliran air Sungai Buloh yang melalui kampung ini berwarna hitam legam sejak kelmarin lebih-lebih lagi sekarang ni panas terik, lagilah bau naik sampai pening kepala.

“Dulu pernah bangkitkan isu ini, lepas tu air kembali OK tapi sejak kebelakangan ini air jadi hitam dan berbau. Mungkin sebab musim panas sekarang ni air jadi berkeladak hitam.

“Kalau boleh, pihak berwajib dapat pantau punca aliran air yang berbau busuk ini sebab aliran air ini terus ke Sungai Buloh. Mungkin sisa kumbahan kilang dibuang terus ke sungai,” katanya.