Marang promosi produk pelancongan 'tersembunyi'

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

MARANG - Musim mencandat sotong yang biasanya menjadi daya penarik pelancong berkunjung ke daerah Marang akan digunakan sepenuhnya mempromosi pelbagai lagi produk pelancongan menarik di daerah itu yang masih 'tersembunyi'.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, 80 produk pelancongan santai termasuk kraftangan, makanan tradisional, destinasi menarik aktiviti sukan serta kebudayaan tempatan dalam daerah, akan diketengahkan untuk diterokai pelancong dari dalam dan luar negara.

“Marang mempunyai lapan mukim iaitu Merchang, Binjai Rendah, Bukit Payong, Wakaf Tapai, Alor Limbat, Rusila, Pulau Kerengga dan Jerong, di mana kita mahu setiap mukim ini mencari 10 keistimewaan dan keunikan tersendiri yang boleh menarik kedatangan pelancong.

"Kesemua produk itu juga akan didokumentasikan dalam buku khas pelancongan, untuk edaran penggiat industri di dalam dan luar negeri ini," katanya di sini, hari ini.

Jarak bandar Marang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kuala Terengganu akan memudahkan lagi akses pelancong yang mahu melawat banyak tempat menarik di sekitar dua daerah itu dalam tempoh yang singkat.

Antara produk pelancongan yang terkenal di Marang ketika ini ialah aktiviti di sekitar Pulau Kapas, seperti ‘Swimathon’, Pesta Budaya di Pantai Kelulut dan Pesta Candat Sotong di perairan Pulau Kapas.

Mengulas lanjut, Tun Ahmad Faisal berkata, Marang sebenarnya mempunyai banyak keunikan, namun kebanyakan produk yang boleh 'dijual' kepada pelancong masih belum dieksploitasi sepenuhnya.

"Air nira, manisan (nisang) dan ketupat sotong Marang, misalnya adalah yang terbaik penghasilannya di Terengganu, cuma ia masih belum dipromosikan secara lebih meluas.

Artikel Berkaitan:

"Insyaallah dengan projek pengumpulan maklumat ini, pengusaha produk akan didedahkan mengenai kepentingan promosi, kualiti dan kebersihan kerana ia juga antara faktor penarik dalam industri pelancongan tempatan," katanya. - Bernama