Jom meriahkan Festival Islam Antarabangsa Perak!

Poster jualan buku serta sesi bertemu penulis di reruai Karangkraf.
A
A

SERI MANJUNG - Lebih 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Islam Antarabangsa Perak yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 28 hingga 31 Mac ini.

Program yang diadakan di Dewan EMV Manjung ini dianjurkan oleh Fia Premier Enterprise akan dibuka kepada semua lapisan masyarakat bermula jam 12 tengah hari hingga 12 malam sepanjang empat hari berlangsung.

Pengurus Program, Norman Ahmad Radzuan berkata, pelbagai aktiviti menarik ditawarkan kepada pengunjung antaranya Quran Hour, pertandingan melukis, mewarna, bowling, futsal, laungan azan, hafazan dan nasyid.

"Kita juga akan mengadakan tayangan filem Bisik Pada Langit khusus untuk kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di mana sesi pertama pada hari Jumaat jam 2 petang untuk pelajar sekolah.

"Bagi sesi kedua adalah pada hari Ahad jam 2 petang untuk pelajar IPT, jadi semua dijemput termasuk juga ibu bapa yang ingin membawa anak-anak menonton filem yang penuh manfaat ini," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Norman
Norman

Menurut Norman, penonton juga berpeluang untuk mengikut sesi bedah siasat filem berkenaan selepas tayangan bersama penulis skripnya.

"Kami menyediakan tempat untuk 1,500 penonton setiap sesi dan ia percuma tanpa perlu berbayar," katanya.

Selain daripada pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan pengunjung turut dipelawa berkunjung ke reruai Karangkraf yang menawarkan jualan Al-Quran, buku dan novel terbitan Karya Bestari, Alaf 21, Buku Prima, Buku Pojok dan Bestari Karangkraf.

Menurut Norman, selain berpeluang membeli buku bermula harga serendah RM5 serta diskaun sehingga 50 peratus, pengunjung juga berpeluang bertemu dengan penulis terkenal.

"Pengunjung berpeluang bertemu mesra bersama penulis Karya Bestari, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail pada 30 Mac jam 8.50 malam, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi 28 Mac 10.05 malam dan Ustaz Hanafiah Abd Malek 28 Mac 9.25 malam," katanya.

Norman turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh Pegawai Daerah Manjung Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

"Saya berharap program ini mendapat sambutan daripada penduduk Perak dan kami merancang untuk menjadikan ia sebuah acara tahunan bagi Daerah Manjung," katanya.