Bil 246 balai raya tertunggak

Aminuddin (tengah) pada sidang medianya, semalam.
Aminuddin (tengah) pada sidang medianya, semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan melalui Pejabat Daerah dan Tanah, memperuntukkan sebanyak RM86,000 untuk membayar bil elektrik dan air yang tertunggak di seluruh balai raya negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 246 balai raya, yang mempunyai masalah bil tertunggak akibat gagal diselesaikan oleh pengurusan pentadbiran terdahulu.

Menurutnya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menghadapi masalah dan tidak dapat menggunakan balai raya sedia ada memandangkan tiada air dan elektrik, akibat bil tertunggak.

“Kita mahu MPKK menggunakan kembali balai raya di kampung mereka dan melakukan aktiviti bersama masyarakat di balai raya.

“Dengan itu, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM1,000 untuk diberikan kepada 433 MPKK negeri ini bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti kemasyarakatan di balai raya kampung masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Aminuddin berkata, pembayaran akan dilakukan dalam masa terdekat kepada Pengerusi MPKK termasuk kampung baru dan kampung tradisi.

Artikel Berkaitan: