Warga emas meninggal dunia di pusat mengundi di Muar

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MUAR - Polis mengesahkan satu kematian membabitkan seorang lelaki warga emas di satu pusat mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 78 tahun itu rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri di tempat kejadian sebelum kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir.

"Siasatan dijalankan setakat ini mendapati kematian lelaki itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan si mati telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Zaharudin berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang isu sensitif berhubung kejadian itu di saluran media sebelum mendapat kenyataan rasmi daripada polis.

Katanya, ia bagi mengelak sebarang salah anggap dan spekulasi negatif yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. - Bernama

Artikel Berkaitan: