Selangor teliti projek perumahan terbengkalai berperingkat

Dari kiri: Suee Lim, Amirudin dan Ngan Choy melihat pameran projek perumahan yang dibangunkan Ion Belian Garden.
Dari kiri: Suee Lim, Amirudin dan Ngan Choy melihat pameran projek perumahan yang dibangunkan Ion Belian Garden.
A
A
A

BATANG KALI - Kerajaan Selangor sentiasa meneliti setiap projek perumahan yang terbengkalai di negeri itu untuk diselesaikan secara berperingkat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, perkara tersebut dilakukan menerusi penelitian Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail bagi memastikan pelan menyediakan perumahan sempurna kepada rakyat mampu dilaksanakan.

"Jadi pihak Rodziah akan meneliti setiap projek terbengkalai satu persatu untuk memastikan pelan menyediakan perumahan yang sempurna kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Perumahan Ion Belian Garden, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim.

Dalam pada itu, Amirudin turut memuji syarikat pemaju, NCT Group yang berjaya mengambil alih projek pembinaan rumah banglo, Genting Valley di sini yang terbengkalai sejak 17 tahun lalu.

Malah katanya, pihak pemaju berkenaan turut menukarkan projek pembinaan banglo kepada rumah teres yang lebih berpatutan untuk orang awam.

Suee Lim (dua dari kiri), Amirudin (tengah) dan Ngan Choy (dua dari kanan) memotong reben merasmikan projek perumahan Ion Belian Garden pada Sabtu.
Suee Lim (dua dari kiri), Amirudin (tengah) dan Ngan Choy (dua dari kanan) memotong reben merasmikan projek perumahan Ion Belian Garden pada Sabtu.

Amirudin berkata, tindakan pemaju menyelesaikan perkara tersebut membuktikan permintaan perumahan di Selangor masih tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Saya gembira melihat pihak pemaju menukarkan projek perumahan banglo kepada teres yang lebih berpatutan. Malah, mereka juga menyelesaikan masalah 199 pembeli dalam masa dua tahun yang terbeban dengan hutang dan kos awal pembelian (unit rumah).

"Penyelamatan ini membuktikan bahawa permintaan perumahan di Selangor masih tinggi. Jadi Selangor terus berkembang sebagai negeri yang maju," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, pelantikan NCT Group untuk memulihkan tanah seluas 42 hektar menunjukkan kekuatan syarikat itu, dengan pengalamannya memulihkan beberapa projek terbengkalai terbesar di Malaysia.

"Kami menerima sambutan yang menggalakkan dengan kesemua 149 unit Rumah Selangorku habis dijual dalam masa lima minit selepas pelancaran.

"Dengan nilai pembangunan kasar dalam akses RM37 juta, ini menandakan permulaan yang sangat baik untuk lon Belian Garden dan mengukuhkan nilai pembangunan kami," katanya.

Projek tersebut yang dikenali sebagai projek Genting Valley terdiri daripada 665 plot banglo melibatkan lima fasa, terbengkalai hampir 17 tahun oleh pemaju asal.