Segerakan rundingan pembinaan jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok

Mustapa (kanan) melakukan tinjauan ke tapak cadangan pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Malaysia-Thailand berhampiran ICQS, Rantau Panjang pada Sabtu. - Foto Bernama
Mustapa (kanan) melakukan tinjauan ke tapak cadangan pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Malaysia-Thailand berhampiran ICQS, Rantau Panjang pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Malaysia akan segera memulakan proses rundingan dengan Thailand berhubung pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok yang berdekatan dengan sempadan kedua-dua negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rundingan itu perlu disegerakan susulan kenyataan bersama kedua-dua negara ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand pada 26 Februari lalu.

"Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Thailand mengeluarkan kenyataan bersama iaitu antaranya memulakan semula rundingan bagi mempercepatkan projek melibatkan dua negara seperti jambatan ini.

"Kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM210 juta pada November 2020 bagi membina jambatan sepanjang 116 meter untuk mengatasi beberapa isu antaranya kesesakan aliran trafik keluar masuk di kedua-dua negara, selain merancakkan pertumbuhan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas Lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata pembinaan itu terpaksa ditangguhkan disebabkan beberapa faktor yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua negara selain disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, rundingan itu perlu mendapat persetujuan daripada kedua-dua negara kerana ia melibatkan jarak jambatan, reka bentuk, kos perkongsian pembinaan dan pelbagai isu.

"Kita harap sebarang isu yang timbul dapat diatasi segera kerana kedua-dua pemimpin sebelum ini telah bersetuju untuk kembalikan semula rundingan," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, lawatan beliau di ICQS hari ini adalah bertujuan meninjau perkembangan terkini projek jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok dan Projek baharu ICQS yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Artikel Berkaitan:

"Projek ini akan merancakkan perdagangan antara dua negara sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, khususnya negeri Kelantan dan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara," katanya. - Kelantan