Pukul pekerja sampai maut

A
A

BUTTERWORTH - Seorang pekerja sebuah kedai mencuci kenderaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini selepas dipercayai dipukul majikannya dalam kejadian di pejabat kedai itu di Taman Chai Leng, Perai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mangsa, S. Gehanathan, 38, meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi ini.

Beliau berkata, manga dibawa ke HSJ oleh ambulans pada jam 4.30 petang semalam selepas majikannya memaklumkan bahawa pekerjanya terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran kedai mencuci kenderaan milik lelaki tersebut.

”Bagaimanapun, pemeriksaan awal ke atas mayat mangsa mendapati kecederaan dialaminya bukannya disebabkan kemalangan jalan raya," katanya di sini malam ini.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan luka di kepala, muka dan lengan dipercayai dipukul dan siasatan di lokasi yang didakwa berlaku kemalangan itu tidak menunjukkan sebarang kesan atau bukti kemalangan.

Nik Ros Azhan berkata, pihak polis telah ke lokasi kedai mencuci kenderaan itu dan siasatan ke atas tujuh pekerja termasuk tiga pekerja warga Myanmar mengesahkan mangsa dipukul tiga lelaki termasuk majikannya kerana terdapat perselisihan faham antara mereka.

"Mangsa dikatakan telah mengirim mesej menerusi aplikasi WhatsAap yang mahu menganggu isteri dan keluarga majikannya dan berikutan itu suspek bersama dua lagi rakannya telah menarik mangsa masuk ke pejabat kedai tersebut lalu memukulnya hingga pengsan,” katanya.

Majikan itu dikatakan telah mengarahkan kesemua pekerja untuk merahsiakan perkara yang terjadi dan meminta mereka untuk mengatakan mangsa telah terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.

Katanya, pemeriksan polis di lokasi kejadian telah menemui percikan darah di dinding bahagian ruang tamu dan sebatang kayu berukuran 0.95 meter, tin cat serta kayu mop lantai dengan kesan darah dan dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Beliau berkata, polis menahan majikan mangsa berusia 35 tahun dan seorang lelaki berumur 21 tahun selain sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki berusia 30 tahun dalam membantu siasatan.

"Mayat mangsa akan dibedah siasat esok untuk mengetahui punca sebenar kematian kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.- Bernama