'Mereka percaya tempat itu selamat, tapi kita lihat ia berisiko' - Amirudin

Amirudin ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Perumahan Ion Belian Garden, di sini pada Sabtu.
Amirudin ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Perumahan Ion Belian Garden, di sini pada Sabtu.
A
A
A

BATANG KALI - Kerajaan Selangor menasihatkan semua penghuni di 48 buah rumah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang untuk berpindah ke tempat selamat buat sementara waktu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemindahan tersebut hanya mengambil masa maksimum lima hari untuk memberi ruang kepada pihak berkaitan menjalankan kajian di tapak kejadian bagi memastikan lokasi tersebut selamat atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Amirudin mengingatkan mana-mana penduduk yang didapati enggan berpindah ke tempat selamat untuk menanggung risiko sendiri jika terdedah kepada bahaya di kawasan tersebut.

"Kita sedang pujuk (untuk berpindah) sebab kita perlu yakinkan mereka. Mereka percaya tempat itu selamat, tapi kita lihat ia berisiko.

"Kita telah beri amaran dan ingatan, malah pihak polis juga akan membuat kawalan 24 jam di kawasan itu khususnya untuk mereka yang berpindah sementara. Kita tidak minta lama pun kerana selepas tempoh kajian dibuat, kita boleh umumkan kualiti dan kestabilan cerun.

"Saya nasihatkan kepada mereka yang masih tidak berpindah ke tempat selamat untuk bersedia kerana mereka perlu menanggung risiko kerana kerajaan sentiasa memikirkan apa yang berlaku dan kesannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Perumahan Ion Belian Garden, di sini pada Sabtu.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan terdapat sbahagian kecil penduduk di Taman Bukit Permai 2, Ampang yakin kediaman mereka masih selamat kerana terletak agak jauh dari kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Malah ada juga yang mendakwa sanggup tinggal di rumah masing-masing walaupun tanpa bekalan elektrik dan air yang terputus selepas kejadian itu.