Kanak-kanak diperkosa, dipenggal keluarga sendiri

Gambar hiasan
A
A

BHOPAL - INDIA. Polis berjaya menyelesaikan kes rogol dan bunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dari komuniti Dalit selepas memberkas tiga abang, bapa serta ibu saudaranya.

Kejadian menggemparkan itu berlaku di daerah Sagar di negeri Madhya Pradesh.

Mangsa dirogol secara bergilir-gilir dan kepalanya dipenggal menggunakan sabit.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemui di sebuah kawasan ladang pertanian di perkampungan Berkhedi.

Polis sebelum ini menawarkan ganjaran wang tunai kepada penduduk yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan mangsa.

Mangsa dilaporkan hilang pada 13 Mac lalu.

Ibu saudara mangsa sebelum itu memberi maklumat bercanggah dan cuba mengelirukan polis dengan menuduh jirannya bertanggungjawab di atas kehilangan kanak-kanak terbabit.

Penguasa polis daerah Amit Singh berkata, mangsa dibunuh selepas mengancam untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

"Kesemua suspek termasuk bapa saudaranya mencekik mangsa hingga mati sebelum memenggal kepala dan membuang mayatnya.

"Bedah siasat telah mengesahkan mangsa diperkosa bergilir-gilir dan turut diperlakukan dengan seks luar tabii.

“Saya tidak pernah melihat jenayah seperti ini seumur hidup saya, malah peguam juga menyatakan mereka enggan mewakili tertuduh dalam kes ini," katanya. - Agensi