Ini bukti kerajaan serius, kata pakar

Prof Madya Dr Shamrahayu
Prof Madya Dr Shamrahayu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan penubuhan mahkamah khas rasuah peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menunjukkan keseriusan kerajaan mempercepatkan tunggakan kes di mahkamah.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, usaha tersebut akan memberi tanggapan baik dunia terhadap kesungguhan negara membanteras rasuah menerusi langkah proaktif mempercepatkan proses keadilan.

Selain itu, ia menunjukkan kerajaan tidak bertolak ansur dalam urusan pencapaian proses keadilan itu sendiri dan juga satu penzahiran kepada mencapai objektif kedaulatan undang-undang, katanya kepada Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah khas rasuah ditubuh tumpu kes rasuah

Beliau berkata, usaha itu juga akan menambah ruang pengkhususan terhadap kes-kes rasuah ditangani secara sistematik berikutan hanya Mahkamah Sesyen Khas Rasuah sahaja wujud ketika ini.

“Usaha ini akan membolehkan sesebuah kes rasuah dapat diselesaikan secara pantas oleh mahkamah khusus yang tertumpu semata-mata kepada kes rasuah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, cadangan itu merupakan satu visi jangka panjang ke arah negara bebas rasuah dan seharusnya disambut baik semua pihak.

"Ia tidak semestinya melibatkan perbelanjaan yang besar (jika ada) bagi penubuhannya, di mana sebarang perbelanjaan dikeluar menjurus kepada perkara positif dan ia tidak seharusnya menjadi kekangan untuk dilaksana,” katanya

Artikel Berkaitan:

Beliau, bagaimanapun, berkata pihak Badan Peguam masih belum berbincang mengenai perkara itu namun cadangan pengkhususan mahkamah tersebut disambut baik.

Semalam, perkara tersebut merupakan antara cadangan penambahbaikan mahkamah khas rasuah yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Bernama