Tiada lagi PKRC di hotel Pulau Pinang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada lagi hotel di negeri ini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) selepas kerajaan membenarkan pesakit Covid-19 menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, hotel yang sebelum ini dijadikan pusat kuarantin itu kembali beroperasi seperti biasa dan PKRC yang dikendalikan kerajaan masih mencukupi untuk menampung pesakit.

"Terdapat satu PKRC yang dikendalikan kerajaan di Pulau Pinang iaitu Pusat Pendidikan Mara (MEC) Jawi. Setakat Khamis, kadar kemasukkan pesakit adalah 34 peratus.

“Angka pada Khamis juga menunjukkan pesakit yang menerima rawatan di wad Hospital Pulau Pinang adalah 70 peratus, Hospital Kepala Batas (69 peratus) dan Hospital Sungai Bakap (67 peratus),” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, hotel bertaraf empat bintang, Royal Chulan Penang di sini dijadikan PKRC berisiko rendah mulai 2 September tahun lalu.

Ia merupakan langkah penyediaan satu lagi pilihan kuarantin di bawah tanggungan sendiri kepada pesakit Covid-19 berisiko rendah.

Royal Chulan Penang adalah hotel kedua di negeri ini yang dijadikan sebagai PKRC selepas Vouk Hotel Suites.

Dalam pada itu, menurut Soon Hin, selepas menghadapi masalah perniagaan berpanjangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri perhotelan kini kembali mendapat momentum melalui aktiviti perniagaan dan pelancongan domestik.

Artikel Berkaitan:

"Susulan daripada itu, hotel-hotel di Pulau Pinang kembali berada pada prestasi terbaik mereka iaitu menyediakan perkhidmatan hospitaliti kepada pelanggan,” tambahnya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan industri, beliau berkata, pihak hotel telah mematuhi protokol kesihatan dan langkah keselamatan yang ketat untuk pelanggan mereka.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sempadan negara pada 1 April ini susulan fasa peralihan ke endemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan tiga perkara iaitu fakta terkini Covid-19, keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.