Mayat dua pemancing hilang ditemui

Anggota Maritim Malaysia ketika menggerakkan operasi SAR mencari mangsa yang hilang.
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Mayat dua pemancing yang hilang selepas bot dinaiki mereka karam berhampiran Pulau Layak, Tanjung Gemuk, Rompin, Sabtu lalu ditemui, semalam.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, mayat Alfa Rizuan Abd Aziz, 40, ditemui terdampar di pesisir pantai Pulau Acheh kira-kira 16 batu nautika dari lokasi bot dilaporkan karam.

Menurutnya, penemuan mayat mangsa pertama itu dimaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan kira-kira jam 1.22 tengah hari oleh penduduk.

"Identiti mangsa disahkan isterinya selepas dipanggil untuk membuat pengecaman," katanya.

Zulkarnain berkata, mayat seorang lagi mangsa, Azwan Abu Bakar, 44, ditemui terdampar di pesisir pantai Mersing oleh orang awam kira-kira 23 batu nautika dari lokasi bot mereka karam.

"Penemuan mayat mangsa dimaklumkan kepada MRSC Kuantan jam 6 petang semalam.

"Hasil pengecaman dibuat isteri mangsa mengesahkan mayat itu suaminya yang hilang sejak lima hari lalu," katanya.

Mayat mangsa pertama dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa pertama dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 11.30 malam.

Menurutnya, Maritim Malaysia selaku agensi yang mengkoordinasi operasi SAR mengucapkan jutaan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi dan nelayan tempatan yang terlibat sepanjang pencarian ini.

"Komuniti Maritim dinasihatkan supaya sentiasa memakai jaket keselamatan dan peka dengan perubahan semasa cuaca setiap kali turun ke laut bagi mengelakkan sebarang yang tidak diingini.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Sabtu lalu, mangsa yang keluar memancing bersama lapan yang lain termasuk tekong terpaksa terjun ke laut selepas bot dinaiki mereka karam.

Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang.

Lapan mangsa yang lain berjaya diselamatkan krew bot pukat jerut selepas terapung di laut hampir 10 jam manakala dua mangsa ini hilang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia