Warga emas maut, motosikal rempuh bas

Kemalangan mengakibatkan dua lelaki yang menunggang motosikal cedera sebelum seorang daripadanya disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Foto ihsan pembaca
Kemalangan mengakibatkan dua lelaki yang menunggang motosikal cedera sebelum seorang daripadanya disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Seorang warga emas maut selepas motosikal diboncengnya merempuh sebuah bas yang sedang membelok berhampiran Jalan Tun Abdul Razak menghala ke Medan Kidd, di sini pada Jumaat.

Dalam nahas sekitar jam 7.47 pagi itu, A Savirajoo, 66, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa bersama abangnya berusia 68 tahun menunggang motosikal jenis Honda EX5 datang dari arah Jalan Tun Abdul Razak menghala ke Bulatan Medan Kidd.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, sebuah bas membelok ke kanan untuk memasuki stesen bas di jalan tersebut menyebabkan motosikal mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian hadapan kiri kenderaan itu.

Nahas membabitkan dua lelaki menunggang motosikal dengan sebuah bas berhampiran Medan Kidd, pada Jumaat. Foto ihsan pembaca
Nahas membabitkan dua lelaki menunggang motosikal dengan sebuah bas berhampiran Medan Kidd, pada Jumaat. Foto ihsan pembaca

"Pelanggaran menyebabkan dua lelaki terbabit jatuh dan mengalami kecederaan sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun sekitar jam 12.51 tengah hari, pembonceng motosikal terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala penunggang yang cedera di dahi masih dirawat," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HRPB dan diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemandu bas berusia 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan Kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.