Bekalan air di lima kawasan wilayah KL dijangka pulih esok

Lima kawasan yang terjejas adalah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Mawar, Taman Putra dan Pandan Mewah. - Foto hiasan
Lima kawasan yang terjejas adalah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Mawar, Taman Putra dan Pandan Mewah. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekalan air di lima kawasan di Wilayah Kuala Lumpur yang terjejas berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini dijangka pulih sepenuhnya pada 4 pagi esok (12 Mac).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, sehingga 6 petang Jumaat pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai 62 peratus.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lima kawasan yang terjejas adalah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Mawar, Taman Putra dan Pandan Mewah.

Elina berkata, bantuan air alternatif melalui lori tangki akan terus digerakkan di kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki dan berharap mereka menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

"Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: