Jangan lupa matlamat asal TH: Asyraf Wajdi

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan tidak meneruskan agenda untuk mengurangkan subsidi haji yang pastinya akan membebankan rakyat khususnya umat Islam di Malaysia pada masa depan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan perlu sedar bahawa tujuan utama penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak awal penubuhannya 1969 adalah untuk membantu memudahkan dan menguruskan segala urusan haji rakyat Malaysia.

Menurutnya, ia termasuk menguruskan dana umat Islam bagi memperoleh keuntungan yang membolehkan TH membantu mengurangkan bebanan jemaah dengan menawarkan perkhidmatan terbaik pada kadar terendah.

“Mohonlah jangan sesekali mempertimbangkan untuk dikurangkan subsidi haji bagi jemaah Muassasah kali pertama.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Haji perlu dilakukan dengan kemampuan'

“Menggunakan alasan konsep istito’ah atau ‘kemampuan jemaah’ untuk menghalalkan TH mengurangkan komitmen subsidi yang diberikan selama ini bagaikan cuba melupakan matlamat asal penubuhannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Asyraf Wajdi turut mempersoalkan adakah kenyataan terbaharu daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak lagi mahu TH mengembangkan perniagaan mereka.

“Atau, apakah ini juga memberikan isyarat kegagalan penstrukturan semula TH termasuk kesilapan keputusan penjualan aset-aset strategiknya kepada SPV (Syarikat Tujuan Khas) di bawah Kementerian Kewangan yang bernilai RM19.9 billion?

Artikel Berkaitan:

“Walau apa pun alasan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merayu agar YB Dr Mujahid yang merupakan menteri bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama mewakili kerajaan PH tidak sesekali melupakan matlamat asal penubuhan TH,” tegasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan terdahulu sentiasa memastikan TH dapat menyediakan subsidi bagi mengurangkan kos jemaah haji pertama kategori Muassasah.

“Seingat saya ketika dalam pentadbiran kerajaan lama, pernah tiga kali Pengurusan TH memohon untuk dinaikkan caj haji kepada jemaah namun Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah bersetuju dan sentiasa memperingatkan mengenai matlamat penubuhan TH.

“Bahkan, beliau membantu TH dengan memberikan peluang-peluang perniagaan, pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk hartanah.

“Ia bagi memastikan TH mempunyai kekuatan kewangan yang mantap dan memperolehi keuntungan yang optimum bagi meneruskan usaha membantu rakyat khususnya jemaah haji,” jelas beliau.

Hari ini, Mujahid memberitahu kerajaan akan mengurangkan beban subsidi TH ke atas jemaah haji sesuai dengan konsep Istito’ah dan menegaskan konsep berkenaan akan diperkenalkan pada masa depan bagi mengurangkan bantuan daripada TH.

“RM22,900, itu kos sebenar haji. Kalau tidak cukup, dia tidak mampu.TH bantu kurangkan beban mereka tetapi daripada sudut keperluan fekah, dia hanya boleh pergi haji dalam keadaan termampu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.