'Orang Singapura gelak baca kenyataan Hasni'

Anwar (dua, kanan) dan Amirudin (dua, kiri) bertemu penduduk dan penyokong PKR sempena program Kenduri Rakyat Flat Larkin Perdana, di Larkin, pada Jumaat
Anwar (dua, kanan) dan Amirudin (dua, kiri) bertemu penduduk dan penyokong PKR sempena program Kenduri Rakyat Flat Larkin Perdana, di Larkin, pada Jumaat
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengatakan Singapura boleh menjadi lebih maju jika dipimpin oleh UMNO disifatkan sebagai memalukan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan Menteri Besar Johor itu menjadi bahan jenaka kerana tidak masuk akal.

"Orang Singapura baca (kenyataan) jadi gelak," katanya ketika berucap dalam program Kenduri Rakyat Flat Larkin Perdana, pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Dr Zamil Najwah Arbain.

Pada Khamis, Hasni mengatakan, Singapura boleh menjadi lebih maju jika dipimpin UMNO dan menjadi sekuat Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura sebagai maklum balas terhadap kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengatakan negara itu lebih maju berbanding Malaysia kerana tiada parti berkenaan di sana.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta pengundi PRN Johor supaya tidak diperbodohkan dengan pihak tertentu yang cuba membeli undi mereka dengan sogokan RM100.

Pada masa sama menurut Anwar, beliau rasa hairan kerana kebanyakan rakyat miskin masih menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya kerana diberi RM100 sedangkan sepatutnya bersama-sama PH supaya nasib mereka dapat dibela.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson tersebut berkata, beliau memilih untuk berkempen di Flat Larkin Perdana kerana sudah menjadi pendirian parti mendokong golongan miskin bandar untuk diberikan perhatian.

Artikel Berkaitan:

"Parti PKR akan berusaha membela nasib mereka. Jadi, masyarakat perlu mengundi Dr Zamil dan dalam seminggu selepas menang, kami akan datang semula ke flat ini untuk menyelesaikan masalah yang ada," kata Anwar.

Dr Zamil akan ditentang oleh calon BN, Mohd Hairi Md Shah; Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional); Mohamad Riadz Mohammad Hashim (Parti Pejuang Tanah Air); Norramadan Buan (Bebas) dan Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia).


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my