PN nafi Tosrin calon MB Johor

Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Pemulihan Negara Bersama Komuniti Agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh pada Jumaat.
Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Pemulihan Negara Bersama Komuniti Agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh pada Jumaat.
A
A
A

PAGOH - Perikatan Nasional (PN) menafikan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi sebagai calon Menteri Besar Johor daripada gabungan itu seperti yang tular di media sosial.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, poster yang tular itu adalah palsu kerana pihaknya tidak pernah mengumumkan mana-mana individu sebagai calon Menteri Besar Johor daripada PN.

“Ini taktik orang jahat dengan niat untuk fitnah dan saya pun difitnah bahawa saya nak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri.

“Apa cerita itu? Kita terpaksa nafikan. Dalam tempoh zaman mutakhir seperti ini banyak pihak rasa tertekan sampai dia buat cerita-cerita bohong dan fitnah untuk mempengaruhi pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Majlis Pemulihan Negara Bersama Komuniti Agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh pada Jumaat.

Hadir sama Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Awal pagi ini, tular sebuah poster di media sosial mengatakan Tosrin sebagai calon Menteri Besar Johor daripada PN.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta pengundi di Johor untuk berjaga-jaga tentang individu yang berniat jahat seperti itu.

Artikel Berkaitan:

“Berjaga-jagalah dengan orang yang berniat jahat seperti ini supaya kita jangan terpengaruh.

“Saya fikir pengundi Johor tidak akan termakan dengan taktik-taktik busuk hati yang dibuat oleh pihak tertentu,” tegasnya.

Mengulas mengenai ramalan sesetengah pihak yang meramalkan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Muhyiddin mempunyai pendapat yang tersendiri.

"Itu ramalan dan banyak ramalan bahawa PN menang. Yang mana satu?” katanya.

Penyelidik bebas, Ilham Centre sebelum ini meramalkan BN mampu memenangi sekurang-kurangnya 35 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) selesa di 10 kerusi.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my